
PMM CATAT SEJARAH, TERSENARAI TEMPAT KE-199 DUNIA UI GREENMETRIC 2025
MERLIMAU 5 Januari – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai pada kedudukan ke-199 dunia daripada 1,745 universiti antarabangsa dalam UI GreenMetric World University Ranking 2025.
Lebih membanggakan, PMM turut berada pada kedudukan ke-11 peringkat nasional daripada 91 institusi pengajian tinggi di Malaysia, sekali gus mengekalkan status nombor satu dalam kalangan 51 institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) seluruh negara.
Pengarah Politeknik Merlimau Melaka, Norizam Sekak berkata, pencapaian berprestij ini mengukuhkan kedudukan PMM sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) paling lestari di Malaysia serta membuktikan keupayaan institusi tempatan bersaing di pentas antarabangsa dalam agenda pembangunan mampan.
“Kejayaan tersebut adalah hasil komitmen berterusan seluruh warga PMM dalam melaksanakan inisiatif kelestarian kampus secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“UI GreenMetric merupakan sistem penarafan global yang menilai prestasi kelestarian institusi pengajian tinggi berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk infrastruktur dan persekitaran, tenaga dan perubahan iklim, pengurusan sisa, pengurusan air, pengangkutan, serta pendidikan serta penyelidikan,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan konsisten prestasi PMM sejak penyertaan pertama pada tahun 2018 dipacu oleh pelaksanaan inisiatif SmartGreen PMM yang berpaksikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Antara faktor utama kejayaan ialah pelaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga kampus, inisiatif penjimatan tenaga sehingga 20 peratus serta pelaksanaan projek Energy Performance Contract (EPC) yang menyokong penggunaan tenaga secara cekap dan mampan.
“Selain itu, PMM turut melaksanakan pelbagai projek hijau berimpak tinggi termasuk sistem tadahan air hujan, pembangunan tasik kampus sebagai ekosistem biodiversiti, pembinaan rumah cekap tenaga serta pengurusan sisa kampus secara bersepadu.
“Pendekatan pengurusan berasaskan data serta pemantapan pelaporan secara sistematik turut meningkatkan tahap kredibiliti PMM dalam penilaian di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas perancangan masa hadapan, PMM menyasarkan untuk terus memperkukuh agenda kelestarian menerusi pelaksanaan Blueprint SmartGreen PolyCC 2025–2030 dengan sasaran menembusi kelompok 100 terbaik dunia dalam penarafan UI GreenMetric.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


