PN bakal umum calon muda, profesional dan berwibawa

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 30 Okt – Calon yang sebahagian besarnya muda, profesional dan berwibawa bagi menawarkan diri berkhidmat untuk rakyat Melaka akan diumumkan Perikatan Nasional (PN) sebelum penamaan calon beberapa hari lagi.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon BERSATU, PAS dan GERAKAN itu terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai kaum yang diberikan peluang melalui pembahagian kerusi yang disepakati bersama berdasarkan konsep saling hormat menghormati dan bekerjasama demi kemakmuran bersama.

“Parti komponen PH sudah selesai berunding dan menjelang penamaan calon ia akan dimuktamadkan untuk diumumkan beberapa hari lagi.

“Soal sama ada tiga penjuru atau empat penjuru itu soal lain dan kita akan hadapi bagi memastikan calon kita diterima oleh pengundi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Minum Petang Profesional Melaka Bersama-sama Muhyiddin’ di sebuah hotel di sini, hari ini.

MUHYIDDIN menghadiri program Minum Petang Profesional Melaka Bersama-sama Muhyiddin di sebuah hotel di Ayer Keroh.

Yang turut hadir ialah Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Presiden GERAKAN Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang juga Timbalan Pengerusi PN.

Beliau berkata, calon di 28 kerusi itu diyakini mampu memberika keyakinan kepada pengundi untuk diberi peluang berkhidmat untuk rakyat pelbagai agama dan bangsa.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti komponen menggunakan logo PAS, Muhyiddin berkata ia adalah pandangan peribadinya tetapi PN sudah mencapai keputusan konkrit untuk menggunakan logo tunggal PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

“Dalam PN kita sudah sepakat parti komponen akan gunakan satu simbol sahaja iaitu logo PN.

“Kita bagi pandangan untuk gunakan logo tunggal atas dasar kepentingan bersama,” katanya.

Mengenai keputusan yang bakal diambil PAS berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO, Muhyiddin menegaskan, PN berharap PAS akan membuat keputusan secara bijaksana.

“Saya serahkan kepada PAS kerana kita sudah bincang panjang lebar dan saya harap mereka boleh memikirkannya semasak-masaknya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas foto beliau memegang wang RM5 ketika menyerahkan barangan makanan kepada seorang penunggang motosikal pada program Gerai Prihatin anjuran PN di Klebang hari ini, beliau berkata pihak yang menularkan gambar itu sudah kehabisan modal politik.

“Takkanlah saya sebodoh itu hendak bagi rasuah kepada orang…saya sudah agak memang akan ada pihak tertentu mainkan gambar itu kononnya saya bagi rasuah,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak supaya tidak terjebak dalam permainan politik kotor seupama itu.

Gambar yang tular dalam media sosial itu memaparkan Muhyiddin memegang wang berkenaan pada program itu yang diadakan dengan orang ramai perlu membayar RM15 untuk diberikan seekor ayam, sepapan telur, sebungkus bahan minuman dan ubi kentang dua kilogram.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

545
Kongsi :
Previous post Bajet 2022 tidak pinggirkan belia
Next post Lebih empat rumah rosak dibadai ribut
Ubah saiz-+=