Polis rekod keterangan tiga individu bantu siasatan kes jatuh laut

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

GEORGE TOWN, 17 Jan – Polis telah merekodkan keterangan daripada tiga individu bagi membantu siasatan berhubung insiden lelaki dan wanita terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata polis telah merekodkan keterangan daripada wanita yang terjatuh ke dalam laut itu, anggota tentera menyelamatkan kedua-dua mangsa dan doktor merawat mereka.

“Setakat ini polis masih belum merekodkan keterangan pegawai polis kanan itu dan dia yang berpangkat Inspektor masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kecederaan di kepala serta tidak dapat bergerak.

“Selain itu, lelaki berusia 37 tahun tersebut turut mengalami kecederaan patah bahu sebelah kiri selepas turut terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

Semalam, wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang mendakwa ditolak rakan lelakinya ketika mereka sedang bertengkar di hentian jambatan itu dalam kejadian pada Isnin.

Menurut Khaw, berdasarkan keterangan awal wanita berusia 40 tahun mendakwa telah ditolak rakannya yang juga pegawai kanan polis tetapi bukan bertugas di negeri itu.

Seorang lelaki bertindak pantas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan seorang lelaki dan wanita yang terjatuh ke dalam laut.

Media melaporkan sebelum terjatuh ke dalam laut, mereka yang menaiki Honda Civic dipercayai telah bergaduh di kawasan hentian tersebut.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post Melaka destinasi pelancongan mesra-Muslim
Next post Pelarasan tarif air: Pengguna tidak perlu khuatir, optimumkan penggunaan air
Ubah saiz-+=