Polis tumpas sindiket judi ‘online’, tahan lapan individu

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KOTA LAKSAMANA 9 Jun – Lapan individu termasuk tiga wanita Thailand dipercayai terbabit sindiket perjudian atas talian ditahan dalam serbuan di dua unit kondominium di Jalan Persisiran Bunga Raya, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, suspek yang ditahan berusia 25 hingga 36 tahun dan dipercayai menjadikan kondominium itu sebagai pusat panggilan judi sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, siasatan awal oleh pegawai dan anggota serbuan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri mendapati semua suspek dipercayai mempromosikan kegiatan judi menerusi talian aplikasi WhatsApp, Telegram dan WeChat serta SMS bagi pasaran tempatan, Singapura dan Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Siasatan lanjut mendapati semua suspek dibayar gaji antara RM1,800 hingga RM3,000 sebulan berdasarkan jumlah tempoh masa bekerja.

“Sindiket judi atas talian itu dipercayai menyewa dua unit kondominium itu dengan sewa kira-kira RM2,500 sejak awal tahun ini dan menjadikannya lokasi pusat panggilan kegiatan judi atas talian.

“Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan beroperasi 24 jam dan suspek bekerja mengikut syif, ada yang 12 jam dan ada yang lapan jam sehari,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di lokasi serbuan, malam tadi.

Menurut Mohd Sukri, semakan mendapati seorang daripada suspek berusia 25 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

ANGGOTA polis mengangkat barang kes dirampas berupa peralatan termasuk komputer riba.

“Pemeriksaan turut mendapati semua wanita warga asing berkenaan tinggal lebih masa di negara ini berikutan pas mereka tamat tempoh.

“Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa peralatan digunakan untuk kegiatan judi terbabit termasuk 18 telefon bimbit, lima set komputer, empat modem dan empat buku catatan harian transaksi tambah nilai,” katanya sambil menambah pihak JSJ akan mengesan dalam sebenar sindiket judi atas talian terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut dan perintah reman terhadap semua suspek akan dipohon hari ini.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 4(1)(g) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

554
Kongsi :
Previous post Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh ketika memancing
Next post Vaksinasi harian catat rekod tertinggi semalam, lebih 1.18 juta lengkapkan dos kedua
Ubah saiz-+=