
POLITEKNIK MERLIMAU PERKUKUH JARINGAN ANTARABANGSA DI CHINA
MERLIMAU 3 November – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mengharumkan nama institusi latihan teknikal menerusi pelaksanaan 2025 Guizhou-Malaysia International Educational Exchange Program di Guiyang Vocational Colleges, Guizhou China pada 15 hingga 20 Oktober 2025.
Program anjuran Young Ambassador Club (YAC) PMM itu menjadi platform penting memperkukuh jaringan antarabangsa selain memberi pendedahan global kepada pelajar melalui aktiviti akademik, budaya dan profesional.
Menurut Pengarah Program merangkap Penasihat YAC, Izatul Syazreen Mohd Ismail, inisiatif ini hasil kerjasama antara Guizhou Education Association for International Exchange dan Department of Polytechnic and Community College Education (DPCCE), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memperkasa pelajar dengan pengalaman antarabangsa dan kemahiran insaniah.
“Program ini memberi peluang pelajar membina jati diri serta menambah nilai global dalam diri mereka, selaras aspirasi Politeknik Malaysia untuk melahirkan graduan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Antara pengisian utama ialah seminar akademik menampilkan Timbalan Pengarah Akademik PMM, Faridatuljana Mohd Noor, sebagai Keynote Speaker, program sehari bersama Guiyang Preschool Education College serta persembahan penutup antarabangsa menampilkan tarian tradisional dan lagu Senandung Anak Melaka.
“Selain itu, delegasi turut mengadakan lawatan ilmiah dan budaya ke Muzium Geologi Guiyang dan Balinghe Bridge Museum, memberi peluang peserta meneroka keunikan infrastruktur serta sejarah tempatan China,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Program itu berjaya mencapai objektif dengan menggabungkan elemen akademik, budaya dan jaringan antarabangsa, selain membuka peluang kerjasama jangka panjang antara PMM dan institusi di China dalam bidang latihan teknikal dan vokasional.
Delegasi PMM diketuai Faridatuljana bersama beberapa pensyarah pengiring serta 14 ahli YAC, sekali gus membuktikan keupayaan PMM sebagai institusi TVET unggul yang melahirkan graduan holistik, berketerampilan dan berdaya saing di peringkat global.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


