Sorting by

×

Pondok wakaf kini ‘premis’ jual sayur

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

REMBIA 8 Okt. – Pondok wakaf yang jarang digunakan anggota komuniti untuk menunggu bas, dimanfaatkan seorang gadis untuk memasarkan pelbagai jenis sayur yang diusahakan sendiri bersama-sama bapanya.

Norintan Diana Abdullah, 20, memanfaatkan pondok berkenaan yang dibina seorang anggota komuniti Kampung Paku, Ayer Lanjut di sini untuk memasarkan sayur seperti kangkung, bayam, kacang botol, peria, timun dan kacang panjang.

Dia berkata, sebelum memanfaatkan pondok berkenaan, dia dan bapanya, Abdullah Abdul Karim, 48, memasarkan sayur berkenaan kepada peraih tetapi sejak empat tahun lalu mereka mula memasarkannya sendiri.

“Penduduk kampung yang membina pondok wakaf ini menawarkan kepada kami untuk memanfaatkan pondok ini dengan menjual sayur kerana sekarang tidak ramai penduduk yang menggunakan perkhidmatan bas atau teksi berikutan mereka mempunyai motosikal dan kereta sendiri.

“Saya menyambut baik budi baik pemilik pondok wakaf itu dan mula menjual sayur di pondok ini sejak hujung tahun lalu,” katanya ketika ditemui di pondok wakaf berkenaan hari ini.

Dengan dibantu Suraya Abdul Karim, 37, mereka mula menyusun pelbagai jenis sayur pada jam 8 pagi dan lazimnya berniaga hingga jam 12 tengah hari.

Katanya, pada waktu tidak berniaga, dia membantu bapanya melakukan pelbagai kerja di kebun sayur di kampung berkenaan seperti membaja dan menyembur racun makhluk perosak.

Dia berkata, antara sayur yang mendapat permintaan tinggi ialah kangkung yang dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram , selain bayam dan kacang panjang.

“Untuk memudahkan penjualan, saya ikat kangkung dan bayam seikat 400 gram dan dijual pada harga RM1 dan kaedah itu lebih digemari pelanggan,” katanya.

Dia berkata, kebanyakan pelanggan adalah pengguna jalan raya yang melalui jalan Alor Gajah-Masjid Tanah dan mereka gemar mendapatkan sayur segar dari kebun tanpa perlu mencari tempat meletak kenderaan seperti di pasar.

Dengan hanya berhenti seketika di hadapan pondok wakaf, pelanggan sudah mampu mendapatkan sayur dihajati dan ada juga yang tidak sempat keluar dari kenderaan, sekadar memesan dari dalam kenderaan.

“Saya sudah kenal wajah pelanggan tetap dan sayur kegemaran mereka dan bagi pelanggan yang pertama kami membeli, mereka gembira kerana tidak perlu bersusah
payah mencari tempat meletak kenderaan semata-mata untuk membeli seikat sayur,” katanya.

Views:

1933
Kongsi :
Previous post Ketua Pengarah JAKIM meninggal dunia
Next post MHI dan MMU Melaka bincang kerjasama dalam sektor penyiaran dan animasi
Ubah saiz-+=