
POTENSI KUALA LINGGI SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN MESRA KELUARGA, KOMUNITI
KUALA LINGGI 27 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi memiliki potensi besar sebagai destinasi pelancongan mesra keluarga dan komuniti pada masa akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu bakal direalisasikan menerusi pelan pembangunan secara terancang dan lestari dari kawasan pesisir pantai dari Telok Gong ke Pengkalan Balak.
Jelas beliau, setakat ini terdapat beberapa produk pelancongan baharu telah dibangunkan di Kuala Linggi yang kini mendapat sambutan hebat, antaranya Eco Cruise Sungai Linggi dan kolam memancing air masin pertama di Telok Belanga.
“Kerajaan Negeri percaya pembangunan tidak boleh tertumpu di bandar dan lokasi ikonik semata-mata. Sebaliknya, kampung-kampung seperti Kuala Linggi mesti diberi ruang dan peluang untuk maju seiring zaman tanpa meninggalkan akar dan identiti kita.
“Diharapkan usaha yang dilakukan ini dapat terus menaikkan DUN Kuala Linggi sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang utama di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Melaka Bike Week Edisi ke-2 dan Karnival DUN Kuala Linggi Tahun 2025 di Stadium Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut berharap kebersamaan dan komitmen yang dizahirkan masyarakat Kuala Linggi menerusi penganjuran karnival DUN Kuala Linggi 2025 dapat menjadikan Melaka sebagai negeri contoh dalam pelaksanaan agenda pembangunan luar bandar yang inklusif dan lestari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

