PPM perlu bergerak selari dengan kemajuan abad

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 9 Mac – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) perlu bergerak seiring dengan matlamat pembangunan lestari, Kemahiran Abad Ke-21 dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd Zin Bidin berkata pengakap juga perlu menyediakan platform untuk ahli-ahli menggunakan bakat, minat dan kemahiran masing-masing dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni serta keusahawanan.

Katanya, melalui Pelan Strategik 2018-2023, pihaknya telah berusaha untuk menjadikan PPM sebagai sebuah organisasi yang diurus dan ditadbir secara cekap, moden serta berdikari.

“Ia bagi menyediakan program yang berkualiti kepada muda remaja berteraskan nilai, juga melalui pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa dalam membangun warganegara yang berguna.

“Tahun-tahun mendatang akan menjadi fokus utama kami untuk melaksanakan program berimpak tinggi, memperkasa tadbir urus, memperbaiki sistem latihan, memperkukuh kemampanan kewangan, meningkatkan pembangunan infrastruktur, memajukan imej korporat yang dinamik, membangunkan kepimpinan, meningkatkan kualiti organisasi, memperkukuh kerjasama global dan memperluas jaringan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia di Balai Istiadat, Dewan Seri Negeri, di sini hari ini.

Pada istiadat terbabit, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mendahului senarai antara 300 penerima dengan menerima Bintang Semangat Padi – Perak (BSP-Perak) yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Nasaruddin Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Mohd Zin berkata pergerakan Pengakap telah wujud selama 115 tahun di negara ini dan PPM berdiri teguh sebagai organisasi pendidikan tidak formal terbesar di negara ini dengan lebih 300,000 ahli berdaftar.

“PPM memainkan peranan yang penting dalam membangun dan membentuk generasi muda negara.

“Pergerakan Pengakap merupakan sebuah institusi antarabangsa yang telah terbukti dapat melahirkan Pemimpin yang berupaya menyumbang kepada bangsa dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

626
Kongsi :
Previous post Pelajar TVET disaran semak penarafan institusi pendidikan sebelum daftar
Next post 1,000 penguat kuasa KKM pantau penyediaan, kebersihan makanan di bazar Ramadan
Ubah saiz-+=