PPSPM CIPTA REKOD KUIH KERIA TERBANYAK, KONDA KONDI TERBESAR

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Julai – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mencipta sejarah tersendiri dalam industri pelancongan negeri apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR).

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, pengiktirafan itu diterima bagi penghasilan kuih keria terbanyak dan replika konda kondi terbesar.

Shaharul Azuar berkata, kedua-kedua pengiktirafan itu dilakar pada Festival Sungai Melaka 2026, sekali gus mengangkat warisan makanan dan permainan tradisional sebagai aset pelancongan membanggakan negeri bersejarah ini.

“Pengiktirafan bagi kuih keria diterima apabila sebanyak 10,670 biji kuih berjaya dihasilkan, jumlah itu melepasi sasaran asal sebanyak hanya 10,000 biji.

“Kejayaan ini mencipta rekod baharu MBOR dan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menerusi PPSPM dan Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) dalam memartabatkan kuih tradisional sebagai warisan kulinari yang mempunyai identiti tersendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Shaharul Azuar, pengiktirafan yang diterima bagi replika terbesar konda kondi juga dapat membantu mengetengahkan kembali permainan sukan tradisional dalam kalangan generasi muda termasuk pelancong.

“Replika yang dihasilkan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta yang juga penaja utama pertandingan konda kondi sempena Festival Sungai Melaka 2026 merupakan penghargaan terhadap inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Kedua-dua pengiktirafan diterima ini menjadi antara kemuncak festival yang menghimpunkan pelbagai program berteraskan warisan, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.

Jelas beliau, dengan dua pengiktirafan terbaharu ini ia menjadikan Melaka telah meraih lima pengiktirafan MBOR dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri sedia ada.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post E-MEL RAKYAT LENGKAPKAN EKOSISTEM MELAKA PINTAR