Sorting by

×

PPSPM HAMPIRI SASARAN SATU JUTA PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 24 Disember – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) merekodkan jumlah pengunjung amat memberangsangkan bagi semua produk ditawarkan dengan menghampiri sasaran seramai satu juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, setakat 21 Disember Melaka River Cruise kekal sebagai produk utama dengan merekodkan 794,911 pengunjung.

Katanya, sepanjang tempoh sama Eco-Cruise Tasik Chincin merekodkan seramai 11,733 pengunjung, Eco-Cruise Sungai Linggi (276 pengunjung), Eco-Cruise Paya Lebar (403 pengunjung), Melaka Sea Cruise (261 pengunjung) serta Sunset Cruise (48 pengunjung).

“Angka ini jelas menunjukkan MRC sentiasa menjadi tarikan utama, produk lain memiliki potensi besar untuk diperkasakan melalui perancangan dan promosi yang lebih tersusun,” katanya beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Disember 2025 PPSPM di Ruang Galeri Pejabat PPSPM, Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Operasi (JPO) PPSPM Salman Salim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat (JPPK) PPSPM Khairunissa Ibno Massoda.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar menegaskan semua warga kerja PPSPM perlu terus meningkatkan usaha bagi merealisasikan sasaran satu juta pengunjung Melaka River Cruise menjelang penghujung tahun 2025.

“Pelbagai acara dan pakej telah disusun oleh Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat (JPPK) PPSPM selari dengan perancangan perniagaan sepanjang tahun ini yang diyakini mampu membantu mencapai sasaran tersebut.

“Saya yakin sekiranya semua warga kerja melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh komitmen, sasaran satu juta pengunjung tahun ini dapat direalisasikan,” katanya.

Malah beliau turut mengingatkan warga PPSPM agar tidak berasa selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya bersedia menghadapi cabaran tahun hadapan dengan pendekatan kerja yang lebih cekap, inovatif dan berintegriti.

“Tumpuan kita bukan sahaja kepada peningkatan jumlah pengunjung, tetapi juga kepada pengalaman pelanggan, aspek keselamatan serta pengukuhan imej PPSPM sebagai sebuah agensi pelancongan yang profesional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post GENG LOGAN AKTIF PECAH RUMAH TUMPAS
Next post ASNAF MAIM DIINGAT KEMAS KINI PEMBAHARUAN PENDAFTARAN