PPSPM SASAR 9,000 MURID SERTAI LAWATAN PENDIDIKAN MELAKA RIVER CRUISE

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Julai – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan sehingga 9,000 orang murid akan menyertai siri lawatan pendidikan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Melaka.

Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Dan Kewangan PPSPM, Khairunnisa Ibno Masooda berkata, kerjasama berlangsung dilaksanakan hingga Disember depan menawarkan pakej pelancongan pada kadar istimewa buat murid sekolah.

Katanya, tawaran itu melibatkan pakej lawatan ke tiga produk pelancongan sekitar negeri ini iaitu Melaka River Cruise, Melaka River Park dan Snow World Melaka Mall.

“Sesi lawatan sulung kali ini melibatkan 40 murid dan empat guru pembimbing daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak. Tawaran ini juga fleksibel kerana pihak sekolah boleh membuat perancangan awal berhubung tarikh dan masa lawatan.

“Kami amat menghargai komitmen PGBM yang tampil dengan idea kerjasama ini yang membuka peluang kepada murid untuk meneroka lokasi pelancongan menarik sekitar Melaka bersama rakan masing-masing,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengetuai sesi lawatan pendidikan SK Tanjung Minyak di Melaka River Park, di sini, pada Khamis.

Menurutnya, sepanjang lawatan murid bukan sahaja dibawa menyelusuri Sungai Melaka, tetapi merasai pengalaman dengan menyertai pelbagai aktiviti disediakan di Melaka River Park seperti Rumah Terbalik, Simulator Helikopter dan Ferris Wheel.

“Bagi memeriahkan lagi program, kita turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif termasuk kuiz yang menyediakan hadiah menarik. Kita mahu mereka merasai pengalaman berbeza dan lebih bermakna berbanding lawatan bersama keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

902
Kongsi :
Previous post E-MEL RAKYAT PLATFORM PENGHUBUNG SEKOLAH, MURID DAN IBU BAPA
Next post MELAKA KOMITED CAPAI SASARAN 300 MEGAWATT TENAGA BOLEH BAHARU