Sorting by

×

PPSPM, SEKTOR PERHOTELAN JALIN KOLABORASI TAWAR PAKEJ MENARIK

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Februari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyusun strategi perniagaan lebih agresif sepanjang 2026 dengan memperluas penawaran pakej Melaka River Cruise melalui kolaborasi bersama hotel dan restoran.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, sebagai produk pelancongan utama negeri ini pastinya pihaknya mahu terus meningkatkan mutu perkhidmatan termasuk memperkenal beberapa pakej menerusi kolaborasi sebagai usaha merancakkan Tahun Melawat Melaka 2.0.

“Antara gerak kerja sepanjang 2026 ini selain meningkatkan mutu perkhidmatan PPSPM menerusi Melaka River Cruise akan menambah pakej-pakej bersama restoran dan hotel disepanjang Sungai Melaka.

“Terbaharu PPSPM bekerjasama dengan The Shore dan Swiss Garden Hotel yang mana tawaran harga penginapan di premis terbabit sudah termasuk dengan harga tiket Melaka River Cruise,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM Serta Majlis Melafaz Dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat Khairunnisa Ibno Masooda dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Datuk Adi Supian Shafie

Menurut Shaharul Azuar, Melaka River Cruise juga terus giat mempromosikan perkhidmatan ‘Hop On Hop Off’ atau teksi air yang membolehkan pelancong memasuki ke kawasan tarikan pelancongan tanpa perlu menggunakan kenderaan.

“Inisiatif teksi air ini adalah ilham daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mana apabila pengunjung atau pelancong ke Melaka mereka boleh meletakkan kenderaan sama ada di Melaka Sentral, Jeti Taman Rempah atau perkarangan Pengkalan Rama dan menaiki teksi air untuk ke hotel atau Banda Hilir.

“Perkhidmatan ini kita sudah mulakan dan diharap dengan kolaborasi bersama-sama hotel-hotel dan restoran diharap perkhidmatan teksi air ini akan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Jelasnya, itu adalah antara usaha berterusan PPSPM untuk memperkukuh daya tarikan Melaka River Cruise, sekali gus meningkatkan kedatangan lebih ramai pelancong ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post 5 MOTOSIKAL, 10 BASIKAL MENANTI WARGA PAYA RUMPUT
Next post LALUAN PLAZA TOL SIMPANG AMPAT DINAIK TARAF KEPADA EMPAT LORONG