PPV Bayou Lagoon boleh vaksin 1,500 pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri umum di Pusat Konvesyen Bayou mampu memberi vaksin kepada kira-kira 1,500 pekerja industri dalam satu-satu masa.

Pengurus Besar Bayou Lagoon Resort Sdn Bhd, Abu Hassan Ismail berkata, pusat konvesyen yang dijangka beroperasi pada 26 Julai ini adalah antara dewan PPV industri umum terbesar di negeri ini.

Jelasnya, sebelum pandemik COVID-19, pusat itu mampu menampung sehingga 3,000 orang namun jumlah itu dikurangkan berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan penjarakan sosial.

“Berdasarkan kapisiti dibenarkan, pusat konvesyen itu mampu menampung sehingga 1,500 orang pada satu masa dan dibuka bermula pada jam 9 pagi hingga 9 malam.

“Proses vaksinasi di sini bukan dijalankan secara serentak sebaliknya jumlah kehadiran bergantung kepada kumpulan pekerja dari sesebuah syarikat.

“Setiap proses vaksinasi bagi setiap kumpulan syarikat mengambil masa kira-kira 45 minit bagi setiap kumpulan,” katanya ketika ditemui pada Program Bayou Prihatin di Bayou Lagoon Resort di sini, hari ini.

Abu Hassan (kiri) berucap pada Program Bayou Prihatin di Bayou Lagoon Resort, di sini hari ini

Menurutnya, pengoperasian PPV berkenaan diuruskan oleh penganjur yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, manakala pengurusan resort berkenaan hanya meminjamkan lokasi bagi melaksanakan Program Imunisasi Industri COVID-19 Awam-Swasta (PIKAS).

“Segala persiapan diuruskan oleh penganjur dan bagi pihak Bayou Lagoon Resort, kami amat berbesar hati untuk menyumbangkan lokasi kepada kerajaan dalam usaha menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan PPV Pusat Konvesyen Bayou antara lima PPC industri umum dibuka di negeri bagi mempercepatkan imunisasi berkelompok dalam kalangan pekerja industri.

Setakat 10 Julai lalu, seramai 4,844 pekerja dari 246 syarikat telah berdaftar menerusi PIKAS.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1342
Kongsi :
Previous post Kelonggaran penerima dua dos vaksin diputus minggu depan – PM
Next post RM10,000 untuk pekerja terjejas
Ubah saiz-+=