Premis penginapan berlesen perlu berdaftar sebagai PPP di bawah MOTAC

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PUTRAJAYA, 20 Jan – Pengusaha premis penginapan berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendaftar sebagai Premis Penginapan Pelancong (PPP) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendaftaran di bawah kementerian itu adalah mandatori seperti ketetapan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

Menurut MOTAC ia bertujuan mengawal kewujudan rumah kediaman yang dijadikan rumah penginapan atau inap desa yang semakin bertambah selain membolehkan pengusaha mematuhi syarat yang dikenakan serta mengelak sebarang aduan daripada pihak pengguna.

“Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk mengelakkan premis penginapan pelancongan dijadikan tempat transit kepada penjenayah berikutan ia tidak mempunyai sebarang maklumat keluar masuk pelancong seperti hotel,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan statistik, hanya 4,771 premis telah berdaftar sebagai PPP sedangkan masih banyak premis penginapan berlesen dan beroperasi di seluruh negara belum memohon pendaftaran di bawah MOTAC.

“MOTAC menggalakkan semua premis penginapan ini untuk berdaftar sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil pada masa akan datang. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan atau Tourism Licensing (TOURLIST) di laman https://www.tourlist.gov.my/,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOTAC, premis penginapan yang telah berdaftar sebagai PPP dan memenuhi syarat penggredan diminta mengemukakan permohonan penggredan kepada Pejabat MOTAC Negeri berkenaan.

Pelbagai insentif boleh dinikmati premis yang telah diberikan penggredan oleh MOTAC antaranya pengambilan pegawai dagang atau pekerja asing, insentif cukai, bantuan kewangan daripada kerajaan dan bantuan mempromosikan premis sama ada di dalam atau luar negara.

Garis panduan pendaftaran PPP, penggredan PPP dan kriterianya boleh dirujuk di laman https://www.motac.gov.my/.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3435
Kongsi :
Previous post Amaran angin kencang, laut bergelora di beberapa negeri hingga 25 Jan
Next post Penghuni autisme tanam sayur, jana pendapatan
Ubah saiz-+=