Sorting by

×

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia tidak mengaku terima suapan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima suapan bernilai lebih RM48,000.

Datuk Abu Samah Abd Wahab, 81, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan jawatannya sebagai presiden persatuan itu untuk mendapatkan suapan apabila memilih Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd miliknya dan anak-anak.

Pemilihan syarikat berkenaan dibuat bagi menyediakan sewaan kenderaan logisitik dengan harga keseluruhanya berjumlah RM12,750 menerusi 13 baucar pembayaran antara 2013 hingga 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Abu Samah didakwa mendapatkan suapan dengan memilih Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd milikinya dan adik-beradik untuk membuat sewaan inap desa bagi atlet berbasikal dengan harga keseluruhan RM36,061.85 melalui 32 baucar pembayaran di lokasi sama dalam tempoh sama.

Kedua-dua perbuatan dilakukan di Pejabat PKBM antara tahun 2013 hingga 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan jaminan dikenakan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Ketika prosiding, Abu Samah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan faktor usia dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika siasatan dijalankan.

Beliau juga memohon agar pasport tidak diserahkan kepada mahkamah atas alasan masih memegang jawatan itu dan perlu menghadiri mesyuarat di luar negara dalam masa terdekat.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah namun tertuduh boleh memohon mendapatkan pelepasan pasport secara rasmi mengikut keperluan.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1171
Kongsi :
Previous post Bekalan ayam Johor pulih dua minggu lagi
Next post Kerjasama erat M’sia – S’pura tangani COVID-19 jadikan ia satu kawasan epidemiologi – KJ
Ubah saiz-+=