PRN Johor diteruskan dengan SOP lebih longgar
Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin berkata ia berdasarkan kajian daripada KKM yang mengambil kira kesan varian Omicron terhadap kesihatan awam dan liputan vaksinasi negara yang tinggi pada masa ini membolehkan SOP PRN Johor dilonggarkan sedikit.
“KKM dah muktamadkan (SOP PRN Johor). SOP masih lagi ketat, tapi ada perkara yang KKM tidak benarkan ada yang dibenarkan tapi lebih banyak kita benarkan. Kita tidak boleh jelaskan lagi, tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
“Kita tengok dari PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini, tiada lonjakan tidak ada kluster… dari segi kesihatan awam kita dah berjaya. Kita masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilangsungkan sekali lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani pemeteraian kerjasama promosi kesihatan antara Wellness Hub KKM dan rakan strategik yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Harlina Abdul Rashid di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kepatuhan SOP dalam kalangan masyarakat termasuk pemimpin politik berdepan PRN Johor itu nanti amat penting bagi mengawal penularan COVID-19.
SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.
Dalam pada itu, Khairy berkata sela masa lapan minggu antara dos pertama dan kedua bagi pemberian vaksin kanak-kanak masih dikekalkan susulan keberkesanan dan perlindungannya dalam tempoh berkenaan selain mendapati kesan sampingan lebih rendah sekiranya dijarakkan masa kedua-duanya.
“Saya dah rujuk perkara ini dengan jawatankuasa kerja teknikal dan kita masih kekalkan lapan minggu walaupun ada gelombang Omicron, namun apa-apa kedudukan dan pendirian jawatankuasa ini boleh disemak dari masa ke masa,” katanya.
Mengulas permintaan doktor kontrak berhubung perjawatan tetap disertakan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khairy berkata pihaknya ketika ini menawarkan skim berpencen kepada mereka.
“Ia melibatkan 4,186 jawatan tetap tambahan yang akan diwujudkan di KKM menjelang Jun ini, mungkin pengambilan baharu (kakitangan) pada masa akan datang kita tawarkan KWSP,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KKM akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam terutama di premis makanan dengan kerjasama agensi dan orang ramai. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.