PRN Johor: Lapan calon berusia bawah 30 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

JOHOR BAHRU, 26 Feb – Seramai lapan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berusia bawah 30 tahun dengan dua individu merupakan calon paling muda.

Mereka ialah calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muhammad Airel Zabridin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak dan wakil Barisan Nasional (BN) Kelly Chye Pei Yee di DUN Mengkibol, yang kedua-duanya berusia 26 tahun.

Selain Muhammad Airel, Pejuang turut menampilkan seorang lagi calon muda iaitu Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal, 27, yang merebut kerusi DUN Sungai Balang.

Tiga calon lain berusia 27 tahun ialah Muhamad Fikri Musa (DUN Parit Raja) dan Amira Aisya Abd Aziz (DUN Puteri Wangsa) kedua-duanya daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), serta calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) Muhamad Hanis Asmui Md Salleh yang bertanding di kerusi DUN Maharani.

Seorang lagi calon MUDA ialah Muhammad Rasid Abu Bakar berusia 28 tahun yang merebut kerusi DUN Larkin manakala calon PKR Omar Mokhtar A Manap, 29, bertanding di DUN Johor Lama.

Secara keseluruhan, terdapat 63 calon berusia 40 tahun dan ke bawah yang bertanding pada PRN Johor, dengan BN mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 14 individu, diikuti PN (13), Pejuang (11), Pakatan Harapan (10), MUDA (7), PKR (4) dan PBM (2).

Dua lagi calon ialah daripada Parti Warisan (Warisan) iaitu Lee Ming Wen, 38, yang bertanding di kerusi DUN Bukit Batu dan calon Bebas, Mohd Azwan Abd Rahman (DUN Kempas).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post Misteri kehilangan tujuh ayam terjawab
Next post Banjir: Hampir 500 peniaga di Rantau Panjang terjejas
Ubah saiz-+=