PRN Melaka: Calon boleh berkempen guna van, lori

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 8 Nov – Calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibenarkan untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang pembesar suara bermula hari ini, hingga tengah malam 19 Nov nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kenderaan seperti lori atau van itu bagaimanapun hanya boleh keluar mengikut waktu yang ditetapkan dalam permit yang perlu dipohon kepada pihak polis.

Tegasnya, kenderaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.

“Calon perlu mendapatkan permit dari pihak polis. Tempoh masa dan lokasi untuk berkempen adalah tertakluk kepada permit yang diluluskan oleh pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan segala ceramah mahupun aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Calon hanya boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media massa dan media sosial.

“Sepanjang tempoh berkempen, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Utama) untuk setiap satu DUN.

“Tiada Bilik Gerakan Kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, SOP khas yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya.

“Ia termasuklah taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Calon PAS panik silap bawa pen
Next post PH tawar ‘janji’ pelan tindakan Rabu ini
Ubah saiz-+=