PRN Melaka: PAS mohon kelonggaran berkempen kepada warga emas

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 25 Okt – Kempen secara bersemuka, khususnya untuk pengundi di saluran satu, iaitu pengundi berumur 60 tahun ke atas harus diberikan kelonggaran kepada semua parti, kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek.

Menurutnya, meskipun kempen pilihan raya boleh dibuat melalui media sosial, kempen melalui kaedah bersemuka tetap penting, terutama kepada warga emas di negeri yang kebanyakannya tidak mahir menggunakan teknologi.

Katanya lagi, pengundi saluran berkenaan lebih mudah diberikan penjelasan mengenai isu semasa politik negeri ini dengan kaedah bersemuka berbanding kaedah secara maya.

Beliau berkata, majoriti pengundi saluran itu juga menghadapi masalah dari aspek fizikal, terutama penglihatan yang sudah tidak berapa sempurna untuk menatap bahan kempen yang hanya boleh dilihat melalui telefon bimbit atau komputer riba.

“PAS meminta KKM memberikan sedikit kelonggaran untuk kempen dengan kaedah bersemuka, khususnya bagi pengundi yang sudah lanjut usia di saluran satu.

“Meskipun kempen bersemuka dijalankan, semua pihak harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak pandemik COVID-19 meningkat semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas arahan KKM yang melarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya berkuat kuasa hari ini hingga 27 November depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perhimpunan itu termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, jentera pilihan raya PAS sentiasa bersedia menjalankan tugas kempen melalui media sosial dan tidak akan ketinggalan berbanding jentera pilihan raya parti lain.

Mengenai pembahagian kerusi PAS dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), Kamarudin berkata, mesyuarat mengenainya akan diadakan esok.

“Insya-Allah esok kami akan bermesyuarat untuk menentukannya selepas beberapa siri mesyuarat sudah diadakan sebelum ini dan kami yakin mampu mencapai kata sepakat,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada perbincangan secara formal mengenai pembahagian kerusi dengan UMNO kerana parti berkenaan masih belum menyatakan pendirian konkrit mengenai bentuk kerjasama UMNO – PAS, katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata, rundingan PAS bersama-sama UMNO dan Bersatu masih berjalan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Katanya, pertembungan tiga penjuru yang terlalu banyak antara ketiga-tiga parti hanya akan merugikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

661
Kongsi :
Previous post Banjir Melaka semakin pulih, hanya 1 PPS masih dibuka
Next post (DIKEMAS KINI) Guru dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan
Ubah saiz-+=