PRN Melaka: Undi awal tentera berjalan lancar, 10,191 buang undi di tujuh PPA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SUNGAI UDANG 16 Nov – Seramai 10,191 pegawai dan anggota serta pasangan membuang undi awal di tujuh pusat pengundian awal (PPA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Empat PPA dibuka di Kem Terendak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 1 dan SK Terendak 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terendak dan Dewan Borhan.

Selain Kem Terendak, tiga lagi PPA bagi tentera dan pasangan adalah di Bilik Gerakan 96 DPP Kem Sungai Udang, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah, Bukit Beruang dan Bilik Pusat Latih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)  Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Sepanjang proses pengundian awal itu, sebanyak empat slot tempoh masa ditetapkan bagi membolehkan proses itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan mengelakkan kesesakan atau pengumpulan anggota di satu-satu pusat mengundi.

SEBAHAGIAN anggota tentera yang mulai beratur seawal jam 8 pagi untuk mengundi pada Hari Mengundi Awal sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Sekolah Kebangsaan Terendak 2, Melaka di sini hari ini. Foto: MR. Azli

Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, proses pengundian berjalan lancar dan berpuas hati dengan
pematuhan SOP memandangkan ia sudah menjadi budaya tentera dalam menjaga disiplin.

“Proses yang dilaksanakan hari ini merupakan testimoni pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) yang ketat tidak seperti tahun sebelum ini yang masih dibayangi PRN Sabah.

“Pematuhan SOP dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan sebaiknya di setiap pusat mengundi dan setiap agensi yang terlibat termasuk SPR dan KKM melakukan peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi awal SK Terendak 2 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau secara peribadi melahirkan rasa lega kerana dapat menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia.

“Dalam keadaan norma baharu, saya rasa lebih selamat kerana kita tidak berebut-rebut malah tentera sememangnya diterapkan dengan disiplin, jadi mereka beratur pun memang dah tau untuk melakukan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasmorni Tamby bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang turut berada di sekolah berkenaan bagi meninjau proses undi awal terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: 8,512 tentera di Kem Terendak undi awal hari ini
Next post PRN Melaka: Hampir 40 peratus keluar mengundi awal setakat 11 pagi
Ubah saiz-+=