PRN Sarawak: Pusat mengundi dibuka, pengundian bermula pada 7.30 pagi

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUCHING, 18 Dis – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula pada 7.30 pagi ini dengan pembukaan 1,866 pusat mengundi membabitkan 3,555 saluran bagi rakyat di Bumi Kenyalang memilih kerajaan negeri yang baharu.

Proses itu membabitkan 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar bagi PRN itu yang akan diuruskan oleh seramai 46,565 pegawai pilihan raya di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga pengundian berakhir pada 5 petang.

Bergantung kepada jumlah pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya, ada yang ditutup seawal 12 tengah hari seperti pusat mengundi di Tadika Kemas Kampung Soh yang berada di bawah DUN Muara Tuang, yang hanya mempunyai 97 pengundi.

Pada 14 Dis lepas, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pagi ini diramalkan baik di seluruh negeri, bagaimanapun ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang di beberapa bahagian termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Hujan turut diramal di Kapit dan Bintulu pada sebelah petang manakala suhu sepanjang hari dijangka antara 24 hingga 34 darjah Celsius.

Memandangkan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19, pengundi digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menyaring suhu badan dan merekod kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) aplikasi mudah alih MySejahtera sebelum memasuki pusat mengundi.

Bagaimanapun, bagi pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan masih dibenarkan mengundi di khemah khas dengan diselia oleh pegawai kesihatan manakala individu di bawah pengawasan (PUS) dan individu di bawah siasatan (PUI) perlu memperoleh kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk ke pusat mengundi.

Bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi, pengundi turut dinasihat agar menyemak maklumat pengundian masing-masing melalui aplikasi MySPR Semak atau portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ sebelum keluar mengundi.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post 40 mangsa banjir di Alor Gajah, satu pusat pemindahan sementara dibuka
Next post Dr Noor Hisham diilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia
Ubah saiz-+=