Program Agro Madani FAMA Melaka kutip jualan lebih RM300,000
BANDA HILIR 19 Mac – Lebih RM300,000 hasil kutipan jualan direkodkan menerusi Program Agro Madani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka.
Pengarah FAMA negeri, Hairudin Yunos berkata, program berlangsung selama tiga hari bermula 16 Mac lalu menghimpunkan 50 usahawan tani negeri yang menawarkan pelbagai barangan dijual dengan harga munasabah kepada pengunjung.
Katanya, dalam program berkenaan pengunjung menerima tawaran potongan sekitar lima hingga 20 peratus bagi mendapatkan barangan agromakananan seperti telur, ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan komoditi lain.
“Program berlangsung tiga hari ini mensasarkan kutipan jualan sebanyak RM280,000 dan Alhamdulillah dikhabarkan kini kita telah mencapai lebih RM300,000 pada program Kerajaan Negeri dengan FAMA.
“Menerusi tempias daripada program yang dilaksanakan ini kita akan meneruskan dengan beberapa pendekatan program lain seperti Melaka Agro Market bagi memastikan pengguna kekal menerima jualan harga munasabah.
“Menerusi program seperti ini ia akan menawarkan situasi menang-menag (win-win) antara petani dan pembeli tanpa dihimpit kuasa ‘orang tengah’ yang menjadi punca kepada kenaikan harga barangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Agro Madani FAMA Negeri Melaka diadakan di Dataran Memorial Perishtiharaan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam tadi dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.