Sorting by

×

PROGRAM MBA UITM KAMPUS BANDARAYA MELAKA TAWAR PENGAJIAN BERTARAF ANTARABANGSA

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Oktober – Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka terus menjadi pilihan golongan profesional dan graduan muda yang ingin memperkukuh ilmu pengurusan dengan pengiktirafan bertaraf antarabangsa.

Pensyarah Kanan merangkap Koordinator Pascasiswazah (MBA) UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Dr. Mohd Hafiz Bakar berkata, program di bawah Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) itu telah mendapat akreditasi daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB).

“AACSB ini merupakan pengiktirafan antarabangsa yang baharu diterima pada April lalu dan UiTM antara institusi pendidikan dengan yuran termurah di Malaysia yang memiliki akreditasi tersebut.

“Kemasukan ke program MBA dibuka dua kali setahun iaitu pada Mac dan Oktober, dan kini ditawarkan di beberapa kampus terpilih termasuk Melaka, Shah Alam, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Pengajian dijalankan secara sambilan (part-time) bagi memenuhi keperluan pelajar yang bekerja, dengan kelas diadakan setiap hari Sabtu secara fizikal dan Ahad secara dalam talian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Dr. Mohd Hafiz, setiap semester pelajar akan mengambil tiga subjek secara modular yang perlu diselesaikan dalam tempoh empat hingga lima minggu termasuk tugasan dan peperiksaan.

“Kaedah tugasan secara berkumpulan diamalkan bagi menggalakkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya seperti perbankan, kejuruteraan dan keusahawanan.

“Setiap pelajar perlu melengkapkan 42 jam kredit dengan yuran keseluruhan sekitar RM21,000, yang boleh dibiayai melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), institusi kewangan atau pengeluaran akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.

Katanya, lebih menarik program itu turut menawarkan pengecualian cukai pendapatan sehingga jumlah yuran penuh kepada pelajar yang layak.

“Program ini bukan sahaja membantu pelajar yang sudah bekerja meningkatkan kedudukan kerjaya, malah ada juga graduan baharu yang mengambil peluang memperkukuh kelayakan sebelum mendapat pekerjaan tetap.

“Tenaga pengajar untuk program MBA ini juga adalah pensyarah berpengalaman luas dalam bidang subjek yang diajar.

“Serta memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penerbitan dan penyelidikan sebelum diluluskan untuk mengajar oleh pihak AAGBS,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelajar turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk perbahasan akademik, projek penyelidikan berkumpulan, dan lawatan industri antarabangsa.

“Sebagai contoh antaranya lawatan ke Vietnam yang berjaya membuka peluang eksport produk tempatan.

“Kita mahu jadikan program MBA UiTM Melaka lebih ‘visible’ di peringkat nasional. Walaupun tidak lagi menerima pelajar antarabangsa, kita kekalkan kualiti global melalui program yang diakreditasi AACSB ini.

“Justeru, kita menyasarkan sehingga 15 pelajar bagi setiap pengambilan bagi memastikan tumpuan dan kualiti pengajaran terus terjamin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post PENYANYI LEMAK MANIS PUJI USAHA MELAKA MARTABAT SENI BUDAYA
Next post RM121 JUTA DISALURKAN KEPADA LEBIH 29,000 PENERIMA BANTUAN JKM DI MELAKA