Proses dokumentasi, analisis artifak giat dilakukan JWN dan PERZIM

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

TERENGGANU 1 April – Susulan penemuan pelbagai artifak termasuk ratusan syiling di Pulau Melaka dan Tapak Persisiran Tambak Kota Shahbandar Melaka, proses dokumentasi fotografi dan analisis artifak termasuk bahan bertulis kini giat dilakukan pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, ia bagi membuktikan kaitan kesemua artifak itu dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

“Penemuan tersebut amat penting bagi kronologi sejarah negeri Melaka dan merupakan fakta baharu negara bagi bukti sejarah perdagangan maritim di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas melawat Muzium Terengganu sempena lawatan kerja tiga hari dan pelancaran ‘travel bubble’ Asam di Gunung, Garam di Laut anjuran Bahagian Promosi Pelancongan negeri Melaka di Terengganu hari ini.

SEBAHAGIAN rangka kapal lama yang ditemui.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, kerja-kerja ekskavasi dan penyelamatan di Pulau Melaka dan Tapak Persisiran Tambak Kota Shahbandar Melaka adalah lanjutan dari laporan pertama yang diterima mengenai penemuan artifak dari penyelidik bebas pada September tahun lalu.

Katanya, ia selaras dengan Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka yang mengkehendaki orang awam hendaklah melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah yang dijumpai kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Mesyuarat penyelarasan bagi kerja-kerja akskavasi dan penyelamatan diadakan pada 12 Mac lalu di PERZIM dan gerak kerja untuk ekskavasi arkeologi dan penyelamatan artifak di tapak Pulau Melaka mula dilaksanakan mulai 25 Mac hingga kini.

“Satu penyelidikan berbentuk GPR atau ‘Ground Penetrating Radar’ yang dikawal selia oleh Jabatan Warisan Negara bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah dilaksanakan pada 18 hingga 19 Mac lalu.

“Kerja-kerja ekskavasi kemudian dimulakan dengan bantuan kumpulan penyelidik tempatan yang diketuai oleh Datuk Dr. Dionysius Sharma bagi memberikan perincian jelas ke atas hasil kajian ini bagi membolehkan kajian arkeologi dijalankan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM berkata, hasil daripada kajian itu telah memberi penerangan mengenai lokasi-lokasi artifak ditemui.

Lokasi Pulau Melaka atau nama asalnya Pulau Jawa adalah sebuah pulau yang telah ditambak tanah dan mengikut sejarah ia menjadi saksi beberapa episod peperangan semasa penaklukan Kota Melaka.

Catatan berkaitan pulau ini telah didokumentasikan oleh Rev. Fr. Rene Edouardo Cardon (1877-1948) dalam kertas kerjanya Portugis Melaka (Cardon, R. 1934).

Nama asalnya iaitu Pulo Malaca atau Ilha das Naos (Melayu = Pulau Melaka) atau ‘Island kapal’, dahulunya dikenali sebagai Pulau Jawa. (Akaun Barretto de Resende ini Melaka oleh Sir George Maxwell, JRASSB. 1911, LX ms. 5, 6).

Pulau ini adalah merupakan tempat berlabuhnya ‘Naos de Trato’ atau carracks perdagangan besar yang datang dari China dan Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.melakahariini.my/beratus-duit-syiling-lama-tembikar-zaman-kesultanan-melayu-melaka-kurun-ke-15-ditemui/

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1853
Kongsi :
Previous post Beratus duit syiling lama, tembikar Zaman Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 ditemui
Next post Individu terima dua dos vaksin mungkin dibenar rentas negeri, ke luar negara
Ubah saiz-+=