Sorting by

×

PTPTN MELAKA GALAK MAJIKAN MANFAAT ‘PMO’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Disember – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Melaka terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama para majikan menerusi penganjuran Majlis Mesra Majikan (MMM) 3.0 PTPTN 2025 Peringkat Negeri Melaka.

Majlis yang menghimpunkan seramai 30 wakil agensi majikan dalam sektor awam dan swasta itu telah berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kolaboratif di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Pengarah PTPTN Negeri Melaka Mas Anisah Ayu Othman berkata, penganjuran MMM 3.0 bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara PTPTN dan para majikan, khususnya dalam menggalakkan penggunaan Portal Majikan Online (PMO).

Jelas beliau, portal itu diwujudkan bagi pengurusan potongan gaji bayaran balik pinjaman PTPTN kakitangan, selain turut menjadi medium interaktif untuk menerima maklum balas terus daripada majikan berkenaan pelaksanaan potongan gaji di agensi masing-masing.

“Kerjasama majikan dalam melaksanakan potongan gaji sama ada untuk bayaran balik pinjaman atau penabungan melalui Simpan SSPN adalah amat penting bagi memastikan kelestarian kewangan PTPTN demi kesinambungan dana pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu MMM 3.0 PTPTN 2025 Peringkat Negeri Melaka telah dirasmikan Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Hadir sama, Pengurus Jabatan Operasi Cawangan PTPTN Melaka Mastura Mahamood; Bahagian Pengesanan dan Potongan Bayaran (BPPB) PTPTN Melaka Humaizi Ahmad Ramli serta pegawai-pegawai Pejabat PTPTN Negeri Melaka.

Pada majlis itu, turut disediakan kaunter khidmat pelanggan PTPTN bagi mempromosikan Simpan SSPN dan Pinjaman PTPTN serta menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada majikan yang terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL LANCAR APLIKASI SMART AI TOURISM
Next post MPHTJ SASAR ANUGERAH BANDAR PALING MAMPAN 2026