Puteri UMNO Jasin zahir penghargaan kepada PM pastikan kemenangan PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Ketua Puteri UMNO Jasin Datuk Khaidhirah Abu Zahar, hari ini menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob dan seluruh jentera parti yang bekerja keras memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lepas.

Khaidhirah mengakui tanpa bantuan itu, beliau tidak akan menang dengan mudah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim yang ditandinginya sekali gus menewaskan dua lagi calon lain di kawasan tersebut.

“Bukan mudah jadi calon pilihan raya, nak jadi calon, persediaan jentera kena betul…bukan setakat jentera dari Puteri (UMNO) tetapi jentera (parti) seluruh negara.

“Kami Melaka bangga sebab (jentera parti) satu Malaysia tolong, Johor juga (menang PRN) satu Malaysia tolong…nasib ada PM (perdana menteri) dan kawan-kawan dari Presiden sampai Timbalan Presiden (UMNO) semua tolong,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.

Pada PRN Melaka 20 Nov lepas, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN sekali gus meraih majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan Melaka yang baharu.

Dalam pada itu, Khaidhirah berkata beliau turut terharu apabila kepimpinan UMNO dan BN memberi kepercayaan kepadanya menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka ke-15.

“Saya merupakan wanita pertama di Melaka dilantik sebagai (Timbalan) Speaker dan saya harap saya bukan yang pertama dan terakhir dilantik ke jawatan itu.

“Saya juga mahu lebih ramai Puteri UMNO bertanding calon ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO selepas ini,” katanya yang juga merupakan MT UMNO.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir turut berterima kasih dengan kepimpinan Perdana Menteri yang bertungkus lumus membantu jentera parti dalam memenangi PRN Johor baru-baru ini.

“Terima kasih kepada para Naib Presiden UMNO atas segala panduan kepada kami semua,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1278
Kongsi :
Previous post Hina OKU, “Kak Long” perlu buat permohonan maaf dan laksana aktiviti amal – Ras Adiba
Next post Tiga ditahan disyaki bunuh rakan
Ubah saiz-+=