Sorting by

×

RAIKAN KRISMAS SECARA BIJAK, HORMATI GARIS PANDUAN HALAL – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 20 Disember – Isu dekorasi sempena perayaan Krismas tidak wajar diperbesarkan dan tidak menjejaskan dasar kerajaan mengenai pensijilan halal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau menjelaskan syarat yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam permohonan sijil halal adalah telah dipersetujui kedua-dua pihak dan Kerajaan Negeri tidak menghalang perayaan Krismas diraikan secara bijaksana.

“Cuma dapur atau premis bersijil halal tidak dibenarkan dihias mengikut tema keagamaan bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

“Bagaimanapun, kawasan lain seperti lobi hotel boleh dihias mengikut kreativiti penganjur. Buatlah pokok Krismas setinggi bangunan pun, tiada halangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 bertemakan ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat: Cerminan Kepimpinan Legislatif’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri.

Ab Rauf menegaskan Kerajaan Negeri tidak rigid dalam pelaksanaan undang-undang ini dan berharap rakyat meraikan Krismas dengan semangat kepelbagaian dan budaya bersama.

“Kerajaan Negeri tidak rigid dalam pelaksaan undang-undang ini, maka pandai-pandailah untuk meraikan hari Krismas ini dalam kepelbagaian budaya kita,” katanya.

Terdahulu, surat Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) tular berhubung garis panduan dekorasi Krismas di hotel dan premis makanan bersijil halal, menetapkan bahawa hiasan bersifat keagamaan tidak dibenarkan di dapur dan outlet bersijil halal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post ‘DEWAN BUKAN MEDAN PERANG, TAPI UNTUK MEMBELA RAKYAT’ – AB RAUF
Next post WRUR BUKIT KATIL LABUH TIRAI, 255 SUARA RAKYAT DIDENGARI