Raja Muda Kedah ketuai senarai penerima darjah kebesaran Kedah

Masa Membaca:3 Minit, 15 Saat

ALOR SETAR, 19 Jun – Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-80 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Tengku Sarafudin dikurniakan Darjah Kerabat Kedah, diikuti Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff yang dikurniakan Darjah Kerabat Sallehuddin serta Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang dikurniakan gelaran Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah.

Selesai menganugerahkan kepada ketiga-tiga kerabat baginda itu, Sultan Sallehuddin kemudian menyampaikan anugerah kepada penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-79 yang tidak dapat diadakan pada tahun lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai penerima bagi tahun lepas.

Istiadat kemudian diteruskan bagi penerima pada tahun ini iaitu Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua Istiadat Datuk Mohd Omar Mohamed dianugerahkan Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (DPSS) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira pula dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah Datuk Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Sultan Sallehuddin juga turut berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk kepada dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah iaitu Azman Nasrudin dan Wan Romani Wan Salin.

Sementara itu, seramai 21 penerima dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk antaranya termasuk Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Hakim Mahkamah Tinggi Sungai Petani (1) Chan Jit Li, Ahli Dewan Undangan Negeri Belantik Mohd Isa Shafie dan Pegawai Daerah Kulim Abdul Bari Abdullah.

Turut menerima DSDK adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Syed Khairol Anuar Syed Abidin, Pegawai Daerah Kubang Pasu Muhamad Aroff Darus, Pegawai Daerah Bandar Baharu Rohaizad Rashid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah Kamarudin Abd Akib.

Penerima DSDK lain termasuk Timbalan Gabenor Bank Negara Marzunisham Omar, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan Cawangan Kerja Kesihatan Azman Md Hashim, Pegawai Agama Daerah Kota Setar Ahmad Faisol Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd Mohd Sahil Zabidi dan Timbalan Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi.

Anugerah DSDK turut diterima Pakar Perunding Perubatan Jabatan Perubatan Hospital Sultan Abdul Halim Dr P. Tharmalingam, Panel Bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia I. Devan dan pengamal perubatan Dr Ayaz Ahmad Mohamed Salleh Khan.

Turut menerima DSDK adalah Ketua Pegawai Eksekutif Putra Medical Centre Lee Gaik Cheng, Setiausaha Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Md Noor Udoh, Ahli Jawatankuasa Biro Penerbitan dan Pemasaran Persatuan Sejarah Malaysia Abdul Halim Taib dan Pengerusi Wantas Shipping Langkawi Sdn Bhd Lim Thye Kiang.

Sultan Sallehuddin kemudian menganugerahkan Darjah Dato’ Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Datuk kepada lima penerima iaitu Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Senarai LPK (1) Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Mejar Jeneral Baharuddin Ahmad, Panglima Logistik MK PLTD Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Abdul Aziz Samsi@Haji Shamsudin, Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut Laksamana Muda Chan Peng Cheong dan Ketua Pengarah OP MK ATM-BOLP Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Johari Mohd Jaafar.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Mohd Firdaus Ahmad dianugerahkan Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS), 25 penerima dianugerahkan Setia Diraja Kedah (SDK), manakala seorang lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Dr Robert Ling Kui Ee menerima Jaksa Pendamai (JP).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2185
Kongsi :
Previous post Cadangan had usia kenderaan perlu dilihat secara menyeluruh
Next post Empat remaja selamat, dua dikhuatiri lemas mandi sungai di Penampang
Ubah saiz-+=