Sorting by

×

Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 sokong tahap selanjutnya pembangunan M’sia – Gabenor BNM

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang baru dilancarkan hari ini akan memacu sektor kewangan menjadi tangkas dan berdaya tahan bagi menyokong peralihan negara kepada peringkat pembangunan yang seterusnya.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat telah mengenal pasti lima keutamaan yang akan memperkukuhkan usahanya untuk menggalakkan sistem kewangan yang akan meraih pertumbuhan jangka panjang, kesihatan planet, dan kemakmuran bersama.

Menurutnya keutamaan itu adalah membiayai transformasi ekonomi Malaysia; meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan; memajukan pendigitalan sektor kewangan; meletakkan sistem kewangan untuk memudahkan dan membuat peralihan secara teratur kepada ekonomi hijau; dan meningkatkan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan pemikiran dalam kewangan Islam.

“Meskipun penghasilan rangka tindakan itu telah membabitkan banyak usaha, tugas yang lebih besar bagi kami adalah mengubah visinya kepada realiti. Ini memerlukan kami untuk berusaha dan berfikir di luar kotak berikutan negara memasuki tahap baharu dalam pembangunan.

“Menjadi hasrat dan kepercayaan kami bahawa sektor kewangan akan terus memberikan perkhidmatan baik untuk Malaysia pada beberapa tahun akan datang, menjalankan peranannya untuk menambah baik kesejahteraan rakyat pada masa ini dan generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu MyFintech 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Nor Shamsiah berkata industri kewangan berada pada kedudukan yang baik untuk menjalankan peranan lebih teguh bagi meneraju transformasi dan perubahan di peringkat industri berikutan asas kukuhnya selepas pembangunan dua dekad.

Beliau berkata bank pusat komited untuk menyokong persekitaran dinamisme pasaran yang lebih besar untuk memberi maklum balas kepada perubahan keperluan ekonomi dan masyarakat, sekali gus memerlukan lebih ramai pihak dalam sistem kewangan, beroperasi dengan menggalakkan persaingan dan inovasi yang sihat, serta berkelakuan bijak dan bertanggungjawab.

Mengenai pendekatan BNM di sebalik rangka tindakan itu, beliau berkata perkhidmatan kewangan perlu membantu orang ramai dan perniagaan untuk mengembangkan kekayaan, terlibat dalam perniagaan dan perdagangan, dan membina daya tahan.

“Ia mesti membantu pelanggan menguruskan risiko kewangan dan situasi buruk, termasuk risiko berkaitan iklim dan alam sekitar untuk menikmati kemakmuran berpanjangan.

“Sehubungan itu, rangka tindakan ini berhasrat menyelaras sektor kewangan dengan aspirasi negara agar bukan sahaja menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, malah meletakkan asas kukuh untuk laluan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan,” katanya.

Rangka tindakan itu dirasmikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

901
Kongsi :
Previous post PRN Johor : UMNO sasar tanding 42 kerusi – Mohamad
Next post Motosikal bertembung, seorang parah
Ubah saiz-+=