Sorting by

×

REBELS FT JUARA LIGA FUTSAL PIALA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PENGKALAN BATU 1 Jun – Sebanyak 76 pasukan mewakili pasukan sekitar Melaka dan  negeri di zon Selatan berentap pada Kejohanan Liga Futsal Piala Yang di-Pertua Negeri Melaka, Sempena Hari Jadi Ke-76, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2025.

Perlawanan akhir kejohanan berlangsung di Kapten Futsal, Melaka Mall, di sini, tengah hari tadi menyaksikan Rebels FT menjadi juara, sekali gus membawa pulang wang tunai RM6,000 piala pusingan, piala iringan, medal dan sijil.

Naib johan milik BR’D Vamos yang membawa pulang RM2,000, medal dan sijil, sementara itu tempat ketiga milik Ten PM, membawa pulang RM1,000, medal serta sijil.

Lafaz perasmian penutup kejohanan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sementara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kesudian Tun Dr. Mohd Ali hadir pada majlis itu mencerminkan erti besar terutama bagi memperkasa semangat kesukanan dan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Melaka.

“Menyedari kepentingan sektor sukan, Kerajaan Negeri Melaka komited ke arah memperkasa program pembangunan sukan secara inklusif demi melahirkan masyarakat sihat aktif dan Sejahtera.

“Justeru Kerajaan Negeri menyambut baik penganjuran seumpama ini kerana ia selari dengan usaha untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan membangunkan bakat atlet tempatan untuk bersaing di arena antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam.

Hadir sama pada majlis itu Presiden Pertubuhan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka, Datuk  Mohd Ridhwan Mohd Ali, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datin Sapiah Haron, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Zailani Siran serta penaja kejohanan.

Ab Rauf juga berharap penganjuran seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan penyertaan diluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Kita mahu mencungkil lebih ramai bakat muda dalam sukan futsal,  sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan industri sukan ke peringkat lebih cemerlang.

Kejohanan bermula 18 Mei lalu yang melabuhkan tirai hari ini melibatkan pasukan mewakili pelbagai sektor seperti institusi pengajian tinggi, swasta, Jabatan kerajaan dan komuniti setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7766
Kongsi :
Previous post PENGUSAHA KEDAI MAKAN DIDAKWA DERA ANAK SAUDARA
Next post DATANG MELAKA WAJIB NAIK MENARA TAMING SARI -PENGUNJUNG