Remaja maut terbabit kemalangan dengan lori ayam

Masa Membaca:56 Saat

ALOR GAJAH 8 Dis – Seorang remaja lelaki maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori ayam dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Air Paabas, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu mengakibatkan mangsa Muhammad Ameerudeen Zulkarnain, 19, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah lori ayam.

Beliau berkata, sebelum kejadian lori dipandu lelaki 25 tahun dan motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan arah sama iaitu dari Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berhenti di lampu isyarat merah dan ketika lampu bertukar hijau lori terbabit meneruskan perjalanan.

“Bagaimanapun mangsa yang dipercayai baru tiba di lokasi kejadian terjatuh lalu kepalanya terkena tayar belakang sebelah kiri lori ayam terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Pihak polis juga meminta orang awam atau saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1287
Kongsi :
Previous post Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sumbang RM10,000 kepada Pesta Konvo UTeM
Next post Kes SRC: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penjara, denda ke atas Najib
Ubah saiz-+=