
RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA MELAKA DARI 2 HINGGA 6 JULAI DEPAN
AYER KEROH 17 Jun – Melaka bakal menganjurkan acara berprestij Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka (RBAM) 2025 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir dari 2 hingga 6 Julai depan.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad berkata, acara itu dilaksanakan bersempena Tahun Melawat Melaka (TMM), sambutan pra-peluncuran Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Hari Warisan Melaka Bersejarah UNESCO.
Katanya, acara tersebut mengetengahkan keindahan seni tari dan lagu rakyat tempatan dalam dan luar negara seperti zapin, joget, inang dan pelbagai lagi persembahan tradisional.
“Kita sasarkan 50,000 pengunjung bakal memeriahkan program yang berlangsung selama empat hari. Antara pengisian utama RBAM 2025 adalah Showcase Antarabangsa dan Colours of Rentak Bertandak Malaysia dijayakan kumpulan seni 14 negeri dan 12 negara termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, India serta Sri Lanka.
“Selain itu, turut diadakan program Kolokium Citrawangsa Seni Budaya; pertandingan Konda Kondi Negeri Melaka (5–6 Julai); Pertandingan Zapin Antarabangsa (3–5 Julai); Bicara Keunikan Busana Antarabangsa (3 Julai); World Tourism Explorace 2025 (3 Julai).
“Acara Kemuncak RBAM 2025 (4 Julai) pula menampilkan persembahan artis terkenal seperti M Nasir, Siti Nordiana, Haziq Rosebi, Asmidar dan Yasser Fikri,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di pejabatnya di Kota Cemerlang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Nasrul berkata RBAM 2025 bukan sahaja menjadi medan persembahan seni budaya, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Melaka melalui pelancongan berimpak tinggi.
Katanya, program bertaraf dunia itu juga bertujuan menggamit lebih ramai pengunjung, sekali gus menepati sasaran 16.5 juta pelancong tahun ini.
“Selain itu kita mahu garapkan apresiasi generasi kini terhadap program kesenian warisan di samping acara ini menjadi platform penggiat seni serumpun berhimpun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.