‘Rider Grab’ maut dirempuh ketika beri laluan untuk ambulans

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 19 Jun – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan dua buah kereta di Persimpangan Lampu Isyarat Padang Jambu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi, Hilmi Saleh, 31 yang bekerja sebagai penunggang Grabfood meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC sedang dalam perjalanan dari arah Pengkalan Batu menghala ke Padang Jambu.

Katanya, ketika di persimpangan lampu isyarat berkenaan, mangsa cuba memberi laluan kepada ambulans dengan melintasi ke tengah jalan dari arah sebelah kanan bersama sebuah lagi kereta jenis Proton Wira.

Katanya, ketika itu datang sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu wanita berusia 50 tahun dipercayai sedang bergerak lurus ketika di lorong tengah ketika lampu isyarat hijau tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala dua lagi pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian leher dan dada.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 dikeluarkan untuk menjalankan bedah siasat.

“Kesemua kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Menurut Christopher, pihaknya telah mengesan saksi bebas yang melihat kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5513
Kongsi :
Previous post 3,000 dijangka meriahkan Kenduri Rakyat Sungai Rambai
Next post Cabaran kitar semula antara sekolah tawar hadiah lebih RM30,000
Ubah saiz-+=