
RIDER PENGHANTAR MAKANAN MENINGGAL DUNIA SELEPAS SEBULAN KEMALANGAN
JASIN 3 Jun – Seorang rider p-hailing yang bertarung nyawa sejak sebulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Taman Tehel Impian, Bemban, meninggal dunia di rumahnya, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata pihaknya menerima makluman daripada waris mangsa pada jam 12 tengah hari semalam memaklumkan R Gopal, 61, telah meninggal dunia di kediamannya di Bemban.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan sebelum ini terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kira-kira jam 11.11 pagi pada 1 Mei lalu.
Katanya, dalam kemalangan itu mangsa dipercayai menunggang motosikal dari arah Tehel menghala ke Bukit Katil namun tidak menghentikan kenderaan ketika lampu isyarat menunjukkan warna merah.
“Pada masa sama, sebuah SUV dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun yang dalam perjalanan dari Bukit Katil sedang membelok ke kanan menuju ke Taman Tehel Impian selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.
“Berikutan itu berlaku pelanggaran kedua-dua kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan kaki serta menerima rawatan di Hospital Melaka sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 1 Jun lalu.
“Bagaimanapun, polis menerima makluman daripada waris bahawa mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian manakala sampel darah turut diambil untuk ujian toksikologi,” katanya.
Lee berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mahupun kamera papan pemuka (dashcam) diperoleh bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

