RM1.4 bilion bantuan Banjir Keluarga Malaysia, disalur secara menyeluruh – PM

Masa Membaca:4 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kerajaan akan memastikan segala bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan RM1.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah inisiatif itu, kerajaan turut melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) antaranya RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir.

Kerajaan turut menyalurkan kepada semua KIR terkesan termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia, selain mangsa banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini iaitu hanya sekali semasa berlaku Monsun Timur Laut.

“Menyedari mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang bermula pada 27 Dis lepas dan dijangka selesai minggu ini. Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, Ismail Sabri berkata lebih 30,000 KIR didaftarkan untuk menerima BWI.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 negeri, manakala 25 waris telah menerima bantuan RM10,000 bagi bayaran BWI untuk kematian.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pascabanjir, selain menambah RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan Pahang bagi tujuan sama dengan peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk serta kemudahan awam rosak.

Menurut Perdana Menteri, pada masa ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor dilantik sedang giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan terkesan bencana banjir.

Bagi mempercepatkan kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, beliau berkata KPKT turut menambah sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

“Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa,” katanya.

Setakat semalam, Ismail Sabri berkata 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.

Sementara itu, bagi menambah akses tunai kepada mangsa memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar kosong peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun, termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Bank Negara Malaysia dengan ketersediaan dana RM500 juta pula menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro, dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun, katanya.

“Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF mula dibuka pada 27 Dis lepas. Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Dis, BSN menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudah pun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta,” katanya.

Bagi memastikan bantuan menyeluruh di samping bantuan tunai, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.

Perdana Menteri berkata Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN) yang bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir telah membantu sekitar 15,000 keluarga sejak 19 Dis lepas.

Selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberi rebat 100 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik terkesan banjir bagi Disember 2021, Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju menyediakan pemberian baucar kepada mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang rosak akibat bencana itu.

“Setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi meringankan beban mangsa banjir mengalami kerosakan kenderaan peribadi, beberapa inisiatif turut dilaksanakan antaranya Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma dan syarikat itu bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan juga secara percuma serta diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

Selain itu, Proton bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta percuma di pusat servis berdaftar.

“Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar. Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” katanya.

Beliau berkata inisiatif lain melibatkan baucar RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa mengambil pendekatan holistik melalui pelbagai inisiatif dan langkah bagi memastikan kebajikan Keluarga Malaysia sentiasa terjamin, dan berharap kesemua inisiatif tersebut dapat membantu meringankan beban yang dihadapi mereka akibat banjir.

“Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar impak bencana banjir ini dapat ditangani dengan segera agar kita boleh menumpukan usaha kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan,” katanya, yang turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir.

“Kepada yang beragama Islam, marilah kita sama-sama sedekahkan AlFatihah dan berdoa agar roh mangsa ditempatkan bersama golongan solihin. Bagi yang bukan Islam, marilah kita bertafakur sejenak dan menginsafi musibah ini,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

824
Kongsi :
Previous post ‘Long Tiger’ rancang lari ke negara jiran
Next post Jawatankuasa khas siapkan kajian cadangan mansuh hukuman mati – Wan Junaidi
Ubah saiz-+=