
RM1 JUTA LONJAK PEMBANGUNAN KAMPUNG KILANG BERAPI UTARA
MERLIMAU 22 Disember – Sebanyak RM1 juta diperuntukkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi memacu pembangunan infrastruktur Kampung Kilang Berapi Utara, di sini.
Peruntukan itu disalurkan menerusi Projek Kampung Angkat MADANI (KAM) yang digagaskan Kerajaan Persekutuan bagi memperkasa komuniti luar bandar secara mampan dan menyeluruh.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Datuk PGeol. Zamri Ramli berkata, peruntukan tersebut telah memberi manfaat kepada rakyat di kampung berkenaan menerusi enam skop utama dengan pelbagai komponen pembangunan fizikal, teknikal dan sosial.
Jelas beliau, antara projek yang memberi manfaat kepada rakyat adalah seperti naik taraf jalan, longkang serta pemasangan lampu solar bagi meningkatkan keselamatan 1,700 penduduk di kampung berkenaan.
Pada masa sama, ujar beliau, pihanya turut memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Politeknik Merlimau menerusi latihan praktikal secara hands-on, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Selain itu, penambahbaikan kemudahan asas turut dilaksanakan di Masjid Asy-Syuja’ah, Merlimau membabitkan pemasangan kipas dan lampu, menaik taraf bilik mesyuarat dan bilik pengurusan jenazah serta pemasangan sistem telesidang dan audio bagi menyokong pelaksanaan mesyuarat, kuliah agama dan pembelajaran secara maya untuk keselesaan 4,300 jemaah.
“Projek ini juga telah memberi manfaat kepada 500 murid Sekolah Rendah Agama Merlimau Utara dan 1,000 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya‘kub, melalui agihan kipas serta pemasangan pendingin hawa.
“Di samping itu, Projek KAM ini turut merangkumi penganjuran program ilmu keagamaan untuk penduduk setempat yang dijadualkan berlangsung sepanjang tempoh dua tahun,” katanya ketika merasmikan Program Serahan Kampung Angkat MADANI Kampung Kilang Berapi Utara, di sini, semalam.
Simbolik penyerahan telah diserahkan kepada Penghulu Tertinggi Merlimau Jezlee Pit yang mewakili Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Pada majlis itu juga, turut diadakan penyampaian sumbangan barangan keperluan asas kepada 100 keluarga memerlukan, selain aktiviti Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) yang telah dijalankan bersama komuniti setempat.
Majlis itu turut dihadiri 600 penduduk kampung berkenaan, melibatkan kepimpinan masjid, madrasah, komuniti kampung, persatuan belia dan wanita, serta wakil daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


