RM10,000 bantu pembangunan sukan bola jaring Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PAYA RUMPUT 3 Ogos – Peruntukan sebanyak RM10,000 diumumkan Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin kepada pasukan bola jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM).

Beliau mengumumkan insentif itu dalam ucapan perasmian Kejohanan Bola Jaring MSSNM Piala Exco Pendidikan dan Inovasi Melaka di Kompleks Sukan Krubong di sini, hari ini.

Katanya, peruntukan itu disalurkan bagi membantu pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi memandangkan ia kini turut melibatkan atlet dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

“Seperti dalam Kejohanan Bola Jaring MSSNM Piala Exco Pendidikan dan Inovasi Melaka yang diadakan ini, ia melibatkan sebanyak 1,650 atlet dalam kalangan pelajar dan 128 sekolah menengah yang terlibat.

“Pada masa sama, ia turut melibatkan seramai 520 jurulatih dalam kalangan guru sekolah yang terbabit untuk memastikan keadaan pelajar dari sudut jasmani terjaga.

“Saya harap dengan kejohanan yang diadakan seperti ini dapat melahirkan lebih ramai atlet berkualiti ke peringkat negeri, antarabangsa dan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring MSSNM Piala Exco Pendidikan dan Inovasi yang berlangsung dari semalam hingga esok.

ANTARA aksi bola jaring yang dipamerkan pada Kejohanan Bola Jaring MSSNM Piala Exco Pendidikan dan Inovasi di Kompleks Sukan Krubong, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata kejohanan terbabit turut melibatkan sebanyak 113 sekolah rendah pada minggu lalu.

Ujarnya, keterlibatan pelajar dalam program jasmani itu memberi impak positif selepas tempoh dua tahun pandemik COVID-19 melanda dunia membataskan pergerakan dan pergaulan.

“Setelah hampir dua tahun terkurung, belajar di rumah, belajar di sekolah tanpa kebenaran untuk bersukan, kini saya melihat dengan adanya program atau kejohanan berskala besar ini memberi ruang kepada pelajar dan guru untuk melepaskan tekanan menerusi sukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota sebagai pengelola kejohanan terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2040
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan – PM
Next post PDRM akan kaji semula pemindahan anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak
Ubah saiz-+=