
RM121 JUTA DISALURKAN KEPADA LEBIH 29,000 PENERIMA BANTUAN JKM DI MELAKA
DURIAN TUNGGAL 28 Oktober – Sejumlah RM121 juta telah disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu golongan kurang bernasib baik sehingga September tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, bantuan disalurkan itu memberi manfaat kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga miskin.
“Peruntukan disalurkan memberi manfaat kepada 29,643 orang penerima bantuan. Golongan OKU merekodkan penerima bantuan teramai dengan 12,755 orang.
“Sementara itu warga emas pula seramai 11,905 orang, kanak-kanak (9,388) dan keluarga miskin (3,418),” katanya ketika ditemui selepas Ziarah Kasih JKM Bersama YB Exco Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Kampung Bukit Tambun, Durian Tunggal, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil.
Menurut Kalsom, seramai 892 penerima bantuan direkodkan di DUN Durian Tunggal dengan nilai peruntukan yang disalurkan setakat ini adalah sebanyak RM3.5 juta.
“Bantuan disalurkan JKM secara menyeluruh, perkhidmatan yang amat luas antaranya merangkumi aspek kebajikan, pemuliham, pembangunan komuniti dan perlindungan sosial.
“Kerjasama antara JKM bersama Adun kawasan, Japerun serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) amat penting bagi mengenal pasti rakyat atau golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Terdahulu, dalam lawatan Ziarah Kasih itu lima penerima JKM disantuni dan menerima sumbangan kit makanan, lampin pakai buang serta alat bantu pulih.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


