RM334,500 untuk myKomuniti Perikanan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERKAM 2 Okt – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan pelbagai peralatan kepada golongan nelayan menerusi program myKomuniti Perikanan (myKP) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM334,500 di negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, program di bawah Program Jaminan Makanan (DJM) itu secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan pengeluaran hasil sektor pertanian dan perikanan organik bagi menampung keperluan bekalan makanan harian.

“Seramai 109 penerima terdiri daripada komuniti nelayan layak menerima bantuan berkenaan membabitkan pelbagai kemudahan dan peralatan termasuk rumah pengering ikan, peti sejuk beku, plastik pembungkusan dan tong insulasi.

“Bagi myKP Merlimau, sebanyak RM44,500 diperuntukkan bagi Projek Pemprosesan Ikan Kering.” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Lesen Sampan Khas, Bantuan Speks Akuakultur dan Bantuan Projek Dana Jaminan Makanan (DJM) di Jeti Nelayan Pernu, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Ahmad Tarmidzi Ramly dan Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Mohd Fauzi Salehon.

NOR Mazwani

Dalam pada itu, seorang daripada penerima bantuan berkenaan, Nor Mazwani Abd Lajis, 41 berkata, dia menerima rumah pengering ikan dianggarkan bernilai RM13,000.

“Saya memang ada membuat permohonan bagi meningkatkan hasil jualan ikan kering yang diusahakan sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini, penghasilan ikan kering dilakukan secara ‘manual’, jemur dan angkat namun dengan adanya rumah pengering ikan, saya tidak perlu risau dengan cuaca hujan mahupun gangguan binatang.

“Saya hanya perlu alihkan ikan kering itu ke tempat selamat, tidak perlu lagi bergegas untuk angkat jemuran ikan,” katanya yang mampu menghasilkan ikan kering kira-kira 10 kilogram sehari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post RM1.2j untuk 46 penternak dan nelayan
Next post Jurujual wanita cedera kereta terbabas
Ubah saiz-+=