
RM37.5 JUTA BAIK PULIH JALAN, LONGKANG DI MELAKA
AYER LIMAU 30 Mac – Sebanyak RM37.5 juta diperuntukkan bagi kerja membaik pulih jalan dan sistem perparitan di seluruh Negeri Melaka pada tahun ini.
Exco Kerja Raya, Infrastuktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunjur Basheer berkata, daripada jumlah itu RM7.5 juta adalah merupakan peruntukan di bawah bajet pembangunan Kerajaan Negeri.
Katanya, selebihnya pula disalurkan menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang melibatkan skop kerja lebih menyeluruh.
“Peruntukan MARRIS ini merangkumi kerja seperti membaik pulih jalan, longkang serta infrastruktur berkaitan di pelbagai kawasan sekitar negeri ini.
“Pelaksanaan projek baik pulih jalan dan longkang ini melibatkan agensi utama iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, sebanyak 70 peratus daripada peruntukan MARRIS itu disalurkan kepada JKR negeri memandangkan peranannya sebagai agensi utama penyelenggaraan jalan negeri.
“Agihan ini penting bagi memastikan pelaksanaan kerja dapat dilakukan secara lebih tersusun dan berkesan mengikut kepakaran agensi terlibat.
“Kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu pada musim perayaan semata-mata.
“Langkah ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri memastikan kemudahan infrastruktur sentiasa berada pada tahap baik demi keselamatan dan keselesaan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


