Sorting by

×

RM500,000 atasi hakisan pantai Kampung Sungai Kertah

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat
KEADAAN Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak yang dilanda hakisan pantai. Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 8 Ogos – Peruntukan sebanyak RM500,000 disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi membina tembok penahan ombak untuk mengatasi hakisan yang mengancam pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak di sini.

JPS membuat tawaran sebut harga kerja membina tembok berkenaan atau ‘rock revetment’ hari ini.

Pengarahnya Abdul Hakim Hamzah berkata, tawaran itu akan ditutup pada 14 Ogos ini dan kerja pembinaan dijangka dimulakan tidak lama selepas tarikh berkenaan.

“Tiada benteng pemecah ombak yang bakal dibina, sebaliknya kerja mengatasi hakisan itu hanya membabitkan pembinaan ‘rock revetment,’ iaitu kerja menyusun bongkah batu menjadi tembok penahan ombak di kawasan yang terjejas.

“Kami menjangka kerja berkenaan mampu mengelakkan hakisan bertambah teruk, sekali gus menyelamatkan pantai itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, peruntukan RM500,000 disediakan jabatan itu bagi menjalankan kerja mengatasi hakisan berkenaan dan ia tidak termasuk peruntukan bagi mengatasi masalah yang sama di perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi.

Katanya, JPS sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan kerja mengatasi hakisan pantai yang mengancam kira-kira 100 nelayan di kampung itu.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan hakisan pantai di kedua-dua lokasi berkenaan yang masing-masing mengancam struktur chalet milik pelabur Bumiputera dan nelayan yang menjadikan pantai Kampung Tanjung Dahan sebagai tempat meletakkan perahu dan peralatan menangkap ikan.

Kedua-dua lokasi berkenaan mula mengalami hakisan sejak awal Jun lalu dan ia beransur-ansur bertambah serius berikutan angin kencang dari arah selatan yang menyebabkan ribut membadai pantai.

Pemilik chalet di pantai Sungai Kertah, Yusof Yaacob,63, mendakwa terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM10,000 untuk mendapatkan bongkah batu sebelum disusun menjadi tembok penghalang ombak berikutan ancaman hakisan yang semakin serius.

“Alhamdulillah, selepas dua bulan dibelenggu kebimbangan hakisan yang semakin hampir dengan bangunan chalet, JPS sudah mendapat peruntukan bagi membina tembok penghalang ombak.

“Batu yang saya susun di pantai hanyalah langkah sementara untuk mengelakkan hakisan bertambah serius dan mengancam keselamatan kami sekeluarga dan tetamu chalet,” katanya.

Nelayan di Kampung Tanjung Dahan, Alwi Omar, 64, berkata JPS harus segera mendapatkan peruntukan bagi menjalankan kerja pembaikan pantai yang terhakis teruk, sekali gus menjamin nelayan mampu turun ke laut.

Katanya, hakisan menyebabkan tebing pantai terbentuk setinggi kira-kira dua meter dan menyebabkan nelayan tidak mampu menurunkan perahu ke gigi pantai.

Views:

424
Kongsi :
Previous post Ketum bukan tonik kesihatan – AADK Melaka
Next post PM lancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu
Ubah saiz-+=