Rugi RM4,000 bumbung rosak ditimpa pokok durian

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Sept – Seorang pesara tentera terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM4,000 selepas bumbung genting kediamannya rosak ditimpa pokok durian.

Bagaimanapun, Zahari Samah, 50, tetap bersyukur kerana dia, isteri dan empat anak mereka tidak cedera ditimpa sisa runtuhan bumbung.

Zahari berkata, dia bercadang menebang pokok durian tua kira-kira empat meter dari kediamannya itu tetapi ia tumbang menghempap dan memusnahkan sebahagian bumbung kediamannya sebelum dia sempat berbuat demikian.

ZAHARI memerhatikan pekerja membaiki bumbung genting kediamannya yang rosak ditimpa pokok durian di Kampung Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah.

Dalam kejadian hujan renyai dan angin kencang pada jam 2.30 petang semalam, pokok berkenaan tiba-tiba patah sebelum menghempap bumbung.

Katanya, ketika kejadian dia berehat dalam bilik manakala isteri, Haslina Jefri, 38, dan empat anaknya berusia antara 10 hingga 15 tahun berehat di ruang tamu selepas makan tengah hari.

“Tiba-tiba kami terdengar bunyi pokok patah dan disusuli dengan bunyi benda berat menghempap bumbung dan saya bergegas keluar bilik untuk menyelamatkan isteri dan anak.

“Pokok itu menghempap bumbung bilik anak saya dan menyebabkan hujan masuk ke dalam bilik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ayer Hitam Darat, di sini hari ini.

Katanya, kediaman itu siap dibina empat tahun lalu selepas dia menamatkan perkhidmatan dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan lokasi terkahir perkhidmatan di Tawau, Sabah.

Bagi mengelakkan hujan membasahi ruang bilik anaknya, dia terpaksa menutup bumbung yang pecah dengan kanvas, katanya.

Sehubungan itu, dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mengupah kontraktor menjalankan kerja pembaikan sementara membuat permohonan mendapatkan sumbangan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) Tanjung Bidara.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, JAPERUN itu bersedia menghulurkan sumbangan selepas pentaksiran kerugian dibuat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1405
Kongsi :
Previous post Selamat bersidang! – KM
Next post PICK remaja: 5,887 pelajar sekolah kem tentera dijangka terima vaksin – Hishammuddin
Ubah saiz-+=