Sorting by

×

RUMAH ADAT PERPATIH NEGERI MELAKA JENAMA BAHARU MUZIUM NANING

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

TABOH NANING 25 Disember – Muzium Sejarah dan Warisan Naning kini dijenamakan semula sebagai Rumah Adat Perpatih Negeri Melaka berkuat kuasa 1 Disember 2025.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, ia selaras dengan usaha Kerajaan Negeri bagi memperkasa serta memartabatkan institusi adat dan warisan budaya negeri.

Menurutnya, penjenamaan semula itu melibatkan dua bangunan warisan bernombor PWD 2100 dan PWD 2101 yang terletak di Bukit Naning (Bukit Pereling), Kampung Simpang Ampat.

“Bangunan berkenaan sebelum ini berfungsi sebagai balai dan kediaman rasmi Penghulu Naning selain menjadi pusat pentadbiran Adat Perpatih Naning.

“Perubahan ini adalah susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersetuju menubuhkan Rumah Adat Perpatih Negeri Melaka sebagai platform rasmi bagi pemeliharaan, dokumentasi dan pemerkasaan Adat Perpatih di negeri ini.

“Sebagai agensi pelaksana, PERZIM juga melaksanakan pelbagai kerja penyelidikan, penambahbaikan serta pengisian pameran berkaitan Adat Perpatih,” katanya.

Menurut Erne, inisiatif itu sekali gus mengangkat peranan Rumah Adat Perpatih sebagai pusat rujukan, pendidikan dan aktiviti kebudayaan kepada masyarakat setempat serta pengunjung.

“Ini juga selari dengan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Bajet Negeri Melaka 2025 yang memberi penekanan terhadap pemeliharaan warisan, seni dan budaya, di samping memperkukuh institusi adat sebagai khazanah identiti negeri.

“Orang ramai dijemput mengunjungi Rumah Adat Perpatih Negeri Melaka dengan harga tiket serendah RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

334
Kongsi :
Previous post TAPAK PENJAJA MITC BERWAJAH BAHARU
Next post RIVER CRUISE SUNGAI RAMBAI DILANCAR TAHUN HADAPAN