Rumah pam Malim selesai masalah banjir kilat

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KESIDANG 3 Mac – Projek rumah pam bernilai RM300,000 yang siap dibangunkan dan mula beroperasi di kawasan Malim mampu menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata projek itu merupakan peruntukan MPHTJ sendiri yang mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

“Ini merupakan peruntukan daripada MPHTJ yang mana rumah pam ini beroperasi secara automatik mengikut aras air tertentu dan berfungsi mengepam air dari ‘monsun drain’ kawasan Malim terus ke Sungai Malim.

“Diharapkan dengan adanya rumah pam ini, ia dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi MPHTJ baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Ahli Majlis kawasan, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPHTJ dan Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) MPHTJ.

Terdahulu Sapiah meninjau projek rumah pam berkenaan pada Rabu lalu bagi memastikan ianya beroperasi dengan baik.

Sejurus itu, Sapiah turut mengadakan perbincangan bersama pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengenai Projek Komuniti UTeM iaitu sistem pemantau banjir yang akan dimanfaatkan di DUN Pengkalan Batu.

“Sistem pemantau banjir ini dibangunkan penyelidik UTeM bagi membantu mangsa banjir mengurangkan risiko kerugian.

“Kita mengalu-alukan pelaksanakan projek ini kerana ia inisiatif yang baik kepada komuniti setempat, terima kasih kepada pihak UTeM atas sumbangan dalam bentuk teknologi ini bagi kemudahan masyarakat di bawah pentadbiran MPHTJ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1478
Kongsi :
Previous post Warga emas ditemukan maut dalam kereta selepas banjir surut
Next post Penduduk terlibat banjir segera pindah ke PPS – Adun
Ubah saiz-+=