Rumah terbuka Aidilfitri kembali meriah

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini antara acara yang paling dinantikan pelbagai lapisan masyarakat selepas dua tahun berturut-turut ia tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

Dengan kelonggaran sambutan Aidilfitri yang diberikan tahun ini selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas, banyak pihak termasuk menteri besar di beberapa negeri tidak melepaskan peluang menganjurkan rumah terbuka.

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar di Saujana.

Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta ketua jabatan.

Rumah terbuka Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi itu yang dihadiri kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum berlangsung dalam suasana meriah dengan orang ramai mula berkumpul di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar itu seawal jam 8.30 pagi, semalam.

Tinjauan mendapati kebanyakan tetamu yang hadir bersama keluarga ke majlis yang berlangsung sehingga pukul 3 petang itu, turut memakai pakaian sedondon bagi menceriakan majlis rumah terbuka Aidilfitri berkenaan dan turut dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk makanan istimewa masyarakat Bugis iaitu burasak dan lepat loi serta laksa Johor, mi rebus, otak-otak, kacang pool dan beriani.

Di SELANGOR, jamuan Aidilfitri di kediaman Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari turut berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran rakyat berbilang kaum.

Selain itu, ia turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan agensi negeri itu.

Amirudin ketika ditemui pemberita berkata acara berkenaan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dijadualkan diadakan pada 1 Syawal.

“Majlis ini dirancang pada hari pertama raya tetapi memandangkan Aidilfitri diisytihar sehari lebih awal, jadi kita langsungkan pada pagi 2 Syawal,” katanya.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang diadakan di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Ketibaan baginda berdua kira-kira 3.40 petang disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis berkenaan yang menyajikan pelbagai juadah hari raya antaranya lemang, rendang, sate, nasi impit dan kuih-muih, turut meriah dengan kehadiran ribuan rakyat daripada pelbagai kaum.

Saarani dalam ucapannya pada majlis berkenaan turut merakamkan penghargaan buat pasukan keselamatan, petugas barisan hadapan serta seluruh rakyat yang bersama-sama memainkan peranan ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Di PAHANG, majlis rumah terbuka Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang berlangsung di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan 1, Lipis, turut memperlihatkan suasana yang meriah dengan kehadiran ribuan rakyat berbilang kaum.

Majlis bertambah seri dengan keberangkatan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli menghadiri program tersebut.

Tengku Hassanal turut berkenan menyantuni pengunjung termasuk memperkenan permintaan rakyat yang mahu merakamkan gambar sebagai kenangan selain turut mengurniakan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.

Pada majlis itu, pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah hari raya antaranya sate, lemang, ketupat dan rendang selain dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu raya bagi menghidupkan suasana.

Di SARAWAK, majlis rumah terbuka Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang yang bermula pada 10 pagi hingga 4 petang hari ini dihadiri ribuan tetamu daripada pelbagai latar belakang.

Abang Johari berkata majlis rumah terbuka yang diadakan adalah satu permulaan yang baik agar dapat hidup normal setelah dua tahun berdepan dengan pandemik COVID-19.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib turut mengunjungi rumah terbuka Abang Johari kira-kira 1 tengah hari. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1404
Kongsi :
Previous post Hari Raya Ketiga: Trafik lancar di lebuh raya utama
Next post Sektor automotif digesa semak gaji bagi atasi isu kekurangan pekerja
Ubah saiz-+=