
‘RYTHM’ DIDIK ANAK MUDA CAKNA PENGURUSAN WARGA EMAS, OKU
BANDA HILIR 24 Mei – Program RYTHM atau Ritma Kehidupan Harmoni mampu menjadi platform penting dalam mendedahkan golongan belia mengenai aspek penjagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sebagai persediaan menghadapi perubahan demografi negara pada masa hadapan.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi peluang kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti kebajikan melibatkan sokongan komuniti buat warga emas serta golongan rentan.
Menurutnya, RYTHM dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti kesihatan, terapi dan kesukarelawanan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Dalam Komuniti (PDK) serta institusi kebajikan seluruh negara.
“Program ini membantu meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap keperluan penjagaan warga emas dan OKU, menyemai nilai ihsan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mereka.
“Bagi pelaksanaan Program RYTHM, JKM menerima peruntukan RM5 Juta di bawah Belanjawan 2026 dengan sasaran pelaksanaan 133 Program Sihat Warga Emas dan 133 Program Terapi OKU di seluruh negara, selain enam siri latihan mengikut zon turut dirancang melibatkan penyertaan kira-kira 2,900 peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir program Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Program RYTHM-Ritma Kehidupan Harmoni dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin diadakan di sebuah hotel, di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Che Murad berkata, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2036 apabila penduduk berusia 60 tahun dan ke atas mencecah 5.8 juta orang atau 15.3 peratus daripada keseluruhan populasi negara.
“Peningkatan itu memperlihatkan keperluan terhadap sistem sokongan komuniti dan penjagaan yang lebih menyeluruh terus meningkat, khususnya dalam memastikan kesejahteraan golongan warga emas dan OKU sentiasa terpelihara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

