Sah, lima penjuru di Tangga Batu

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TANGGA BATU 5 November – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Tangga Batu menyaksikan menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz pada jam 10.47 pagi.

Lima calon terbabit ialah calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong, calon Pakatan Harapan (PH) Rusnah Aluai da calon Perikatan Nasional (PN) Bakri Jamaluddin.

Turut bertanding calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang mewakili Pejuang, Ghazali Abu dan seorang calon Bebas, Mohammad Shahril Mahmood.

Kesemua mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tamat tempoh penamaan pada jam 10 pagi tadi.

Proses semakan dan cabut undi pada kertas undian selesai tanpa penolakan atau bantahan dikemukakan mana-mana pihak.

Mengikut undian yang dijalankan Ghazali (Pejuang) diletakkan sebagai calon nombor 1, diikuti Mohammad Shahril (Bebas) calon nombor 2 dan Bakri (PN) sebagai calon nombor 3.

Calon nombor 4 ialah penyandang kerusi Parlimen Tangga Batu, Rusnah (PH) dan Ban Hong mewakili BN diletakkan sebagai calon nombor 5.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi PRU15 dan pengundian awal pada 15 November ini.

Untuk rekod, Melaka mempunyai enam kawasan Parlimen dan memiliki seramai 657,324 pengundi berdaftar.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini mendapati proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang provokasi daripada penyokong parti yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6684
Kongsi :
Previous post PRU15: Penamaan calon ditutup, kempen bermula
Next post Ribut petir, hujan dijangka berlaku selama tiga hari di seluruh negara
Ubah saiz-+=