Sahut slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

REMBIA 7 Mei – Lebih ramai penduduk Melaka diminta untuk bersama-sama menyahut slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ bagi membantu meningkatkan lagi hasil pengeluaran makanan di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, sokongan serta komitmen daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung amat perlu dalam mentrasformasikan sektor pertanian Melaka ke satu tahap yang baharu.

Fairul Nizam yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata, kerajaan menerusi Jabatan Pertanian juga sentiasa berusaha membantu petani bagi meningkatkan pengeluaran hasil selain menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi mereka.

“Menerusi program lawatan pengembangan, pegawai-pegawai Jabatan Pertanian turun padang dan berada di lapangan, digerakkan secara bersepadu serta berjadual untuk memantau keadaan semasa lokasi pengeluaran hasil tani.

“Inilah peranan Jabatan Pertanian untuk memastikan tuan-tuan dan puan-puan mendapat bimbingan serta bantuan khidmat nasihat sebaiknya dalam menjalankan projek pertanian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Bertemu Pelanggan Program Penyerahan Insentif Projek Pembangunan Jabatan Pertanian Negeri Melaka Peringkat Daerah Alor Gajah Tahun 2024 di Pejabat Pertanian Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib dan Pegawai Pertanian Daerah Alor Gajah Johanif Johari.

Menurutnya, bagi tahun ini seramai 161 petani sekitar daerah Alor Gajah menerima insentif pembangunan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan keluasan tanah keseluruhan diusahakan pula adalah 229.8 hektar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

197
Kongsi :
Previous post Sasar bina 4 lagi perpustakaan luar bandar
Next post Simbah asid pemain bola sepak: Seorang lagi ditahan, reman lima hari
Ubah saiz-+=