Sorting by

×

SAMAN SERTA-MERTA JIKA BUAT PUSINGAN U HARAM – JPJ MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di Jalan Tun Razak Ayer Keroh susulan aduan diterima berhubung tindakan pengguna jalan raya membuat pusingan U secara haram.

JPJ Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik, bahkan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Justeru, JPJ Melaka akan mempergiat operasi secara rondaan, termasuk penyamaran di lokasi tersebut, di mana tindakan saman serta-merta akan diberikan kepada pesalah.

“Untuk makluman, perbuatan ini bertentangan dengan kaedah 13(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, di mana individu yang melakukan kesalahan ini di bawah Seksyen 119 (1)(c) Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 (Dua Ribu Ringgit) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan.

“Dalam sabitan kali kedua atau kali kemudian pula boleh didenda tidak melebihi RM4,000.00 (Empat Ribu Ringgit) atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan mata demerit di bawah sistem KEJARA, yang boleh memberi kesan terhadap status lesen memandu sekitanya mata terkumpul melebihi had yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPJ Melaka menasihati semua pengguna jalan raya agar mematuhi isyarat lalu lintas dan tidak mementingkan diri sendiri dalam pemanduan.

Sebarang aduan berkaitan salah laku pemanduan boleh disalurkan terus ke talian rasmi JPJ Melaka atau melalui platform Aduan@JPJ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

663
Kongsi :
Previous post MELAKA HALAL HUB BANTU USAHAWAN BERKEMBANG
Next post GABRIEL, ANAK ORANG ASLI PERTAMA TERIMA ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG