
SAMB TAJA 30 KAKITANGAN TUNAI UMRAH
ALOR GAJAH 23 Disember – Kegembiraan jelas terpancar di riak wajah 30 kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) apabila menerima tajaan penuh untuk menunaikan ibadah umrah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tajaan itu diberikan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan SAMB kepada warga kerjanya.
“SAMB telah memperuntukkan sejumlah RM192,000 sebagai tajaan Program Menunaikan Ibadah Umrah untuk 30 kakitangan terpilih.
“Manakala dua orang warga SAMB berbangsa India turut diraikan melalui Program Ziarah Kasih Keagamaan. Ini jelas mencerminkan kewibawaan SAMB dalam menghargai warga kerjanya secara inklusif dan berteraskan nilai keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi Tea Dan Doa Restu: Meraikan Bakal Jemaah Umrah Dan Peserta Ziarah Keagamaan SAMB, di Villa Harmoni SAMB, A’Famosa Resort Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Wira Ab Wahab Ab Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman.
Sementara itu Ketua Menteri berkata, sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan manifestasi kejayaan pentadbiran SAMB yang telah menunjukkan prestasi amat baik sepanjang tahun ini.
“Insya-Allah prestasi ini akan dikekalkan dalam pelbagai program yang diaturkan termasuklah untuk memperbaiki Air Tidak Terhasil (NRW) bagi mempertingkatkan lagi kualiti air yang akan sampai ke rumah pengguna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


